WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMENTERIAN KESIHATAN ARAB SAUDI TEKANKAN VAKSIN MENINGITIS UNTUK UMRAH

25/02/2025 10:53 PM

RIYADH, 25 Feb (Bernama-SPA) -- Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada Isnin menekankan keperluan untuk mengambil vaksin meningitis bagi mereka yang berhasrat menunaikan ibadah umrah sepanjang Ramadan.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan langkah pencegahan kesihatan dan membendung penularan penyakit berjangkit.

Kementerian itu menegaskan kepentingan mendapatkan suntikan vaksin sekurang-kurangnya 10 hari sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi memastikan imuniti yang diperlukan dapat dicapai.

Individu yang telah menerima vaksin dalam tempoh lima tahun lepas tidak memerlukan dos penggalak kerana vaksin tersebut masih berkesan sepanjang tempoh itu.

Kementerian turut menggesa orang ramai membuat janji temu melalui aplikasi Sehhaty untuk mendapatkan vaksin di klinik vaksinasi dewasa, selain menekankan kepentingan mematuhi langkah pencegahan bagi memastikan pengalaman umrah yang selamat dan sihat.

Arahan ini selaras dengan usaha berterusan Kementerian Kesihatan untuk melindungi kesihatan jemaah umrah, meningkatkan kesedaran kesihatan serta menyumbang kepada pembangunan sistem penjagaan kesihatan yang bersepadu dalam meningkatkan kualiti hidup dan taraf perkhidmatan kesihatan yang disediakan.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan