WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGOPERASIAN BAS ELEKTRIK DIJANGKA JIMAT KOS PENYELENGGARAAN HINGGA 30 PERATUS 

07/11/2024 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menjangkakan penjimatan kos penyelenggaraan sehingga 30 peratus dan kos tenaga lebih 50 peratus menerusi penggunaan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya pada 2037.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata ini berdasarkan data pengoperasian 15 bas elektrik dalam Perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway sejak hampir 10 tahun lepas yang telah membuktikan bahawa kosnya lebih rendah.

“Walaupun harga bas EV agak mahal namun penjimatan dari segi penyelenggaraan serta tenaga menjadikan kos keseluruhan sepanjang hayat bas lebih murah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Bersama Media dan Lawatan Depoh Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan di sini hari ini.

Muhammad Yazurin berkata peralihan bas diesel kepada EV akan dilaksanakan secara berfasa dan ia selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon sejajar Perjanjian Paris untuk menjadi sifar bersih pada 2050.

“Kerajaan telah memberikan komitmen dalam Perjanjian Paris, jadi kita juga tetapkan sasaran mobiliti karbon rendah.

“Bagi menyokong usaha ini, aspirasi kita ialah untuk memiliki 100 peratus perkhidmatan pengangkutan dalam bentuk bas EV menjelang 2037,” katanya.

Perkhidmatan bas di bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan diperkasakan dengan perolehan 250 bas EV yang akan diterima secara berperingkat mulai akhir tahun depan.

Muhammad Yazurin berkata perolehan itu akan dibuat secara berperingkat memandangkan bas berenjin diesel sedia ada masih boleh digunakan.

Mengulas mengenai Program Bersama Media dan Lawatan Depoh Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan hari ini, beliau berkata ia bertujuan memberikan pendedahan kepada pengamal media mengenai operasi di belakang tabir Rapid Bus dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan