WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PAVILION MAHA DI MAEPS LOKASI LAWATAN DELEGASI ASEAN PADA 2025

08/11/2024 10:22 PM

SERDANG, 8 Nov (Bernama) -- Pavilion Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini dikenal pasti sebagai satu daripada lokasi pilihan untuk lawatan delegasi ASEAN tahun depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia merupakan pengiktirafan besar bukan sahaja untuk MAHA tetapi bagi sektor agromakanan negara secara keseluruhannya.

“MAHA telah menjadi platform perdagangan terkemuka bukan sahaja untuk Malaysia tetapi seluruh rantau ini,” katanya ketika berucap pada majlis apresiasi MAHA 2024 di sini hari ini.

Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN secara rasmi pada 1 Jan 2025. 

MAHA 2024 yang berlangsung pada September lepas berjaya mencatat 5.5 juta pengunjung, dengan sebanyak 81 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Persetujuan (MoA) bernilai RM7.2 bilion dimeterai sepanjang 12 hari berlangsungnya pameran berkenaan.

Sementara itu, Mohamad berkata Kementerian  Pertanian dan Keterjaminan Makanan terus komited membantu meringankan beban rakyat melalui penganjuran program Jualan Agro MADANI yang kini hasil jualannya mencecah RM153 juta.

Setakat ini, lebih 6,800 program Jualan Agro MADANI dijalankan dengan penyertaan lebih 86,000 usahawan. 

“Alhamdulillah, hasil jualan mencecah RM153 juta dan ini telah memberi penjimatan kepada berjuta isi rumah,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan