WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FASA PERTAMA ZON BEBAS CUKAI DI PULAU SATU FOREST CITY BERMULA 15 NOV

10/11/2024 03:28 PM

ISKANDAR PUTERI, 10 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan fasa pertama zon bebas cukai di Pulau Satu Forest City akan bermula pada 15 Nov ini manakala fasa kedua pada suku pertama tahun depan, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Fasa pertama pelaksanaan tertumpu kepada penduduk (pemilik rumah), penyewa jangka panjang dan tetamu hotel yang menginap sekurang-kurangnya 48 jam di Pulau Satu, manakala fasa kedua merangkumi pekerja pejabat, pelawat perniagaan, peserta acara, tetamu hotel (pelancong jangka pendek), pemilik kapal layar atau pelawat marina, pelancong penjagaan kesihatan, pelabur dan pembeli hartanah.

Bagi memudahkan pelaksanaan fasa kedua, Menteri Besar itu berkata sistem sedia ada akan ditambah baik dengan penggunaan kod respons pantas (QR), sistem penjejakan pelawat, pengesanan 48 jam di samping lanjutan keistimewaan bebas cukai kepada semua barangan sama ada bernilai tinggi, sederhana dan rendah.

“Kompleks Kastam Diraja Malaysia di Forest City, insya-Allah beroperasi secara penuh pada 15 Nov ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kompleks berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin dan Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd Datuk Md Othman Yusof.

Sementara itu Anis Rizana berkata kompleks baharu kastam berkenaan menempatkan mesin pengimbas bagasi yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam membantu JKDM pengecaman dan proses imej seterusnya menganalisis corak penyeludupan dengan lebih efisien.

“Pegawai kami dapat membuat pemantauan dengan lebih mudah dengan adanya mesin pengimbas terbaharu dan tercanggih ini,” katanya.

Beliau berkata penggunaan teknologi itu akan memantapkan tahap keselamatan kawalan keluar masuk barangan bebas cukai yang dijual di pulau bebas cukai berkenaan.

Sementara itu Md Othman pula berkata Forest City dijangka menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara, sekali gus meningkatkan populariti industri pelancongan tempatan. 

“Ia juga dapat mengimbangi perbezaan antara musim puncak dan bukan puncak percutian. Konsep bebas cukai ini dijangka memacu pembangunan perniagaan dan ekonomi, sekali gus memperkukuh keseluruhan rantaian industri, memperhebat imej industri pelancongan Malaysia yang berdaya saing dan memacu momentum pembangunan industri pelancongan serta ekonomi negara,” katanya.

Diwartakan sebagai Pulau Bebas Cukai pada September lepas, Forest City ialah pulau bebas cukai kelima di Malaysia dan pulau bebas cukai pertama yang boleh diakses terus dengan kenderaan darat.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan