WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BUDAYA BERMUKUN PERLU DIPERTAHANKAN - PREMIER SARAWAK

12/11/2024 08:21 AM

KUCHING, 12 Nov (Bernama) -- Budaya bermukun, satu daripada tradisi seni persembahan yang menggabungkan tarian, pukulan gendang, dan balas pantun dalam kalangan masyarakat Melayu di Borneo, perlu dipertahankan agar tidak lenyap ditelan zaman, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pada masa dahulu, bermukun adalah bentuk hiburan yang sering dipersembahkan dalam majlis perkahwinan di kampung. Selain itu, ia juga menjadi medium bagi golongan bujang dan dara untuk mencari jodoh.

“Mak gendang memainkan peranan penting, bergendang sambil berbalas pantun yang penuh dengan kiasan. Itulah budaya Melayu, dan saya percaya ia juga budaya masyarakat di Borneo,” katanya.

Beliau menambah, “Apabila bermukun, secara automatik boleh berbalas pantun.

“Itulah kehebatan mak gendang. Bukan sahaja untuk berkenalan, tetapi juga untuk menyindir dalam bentuk pantun,” katanya dalam ucapannya pada majlis Malam Segulai Sejalai Bermukun Se-Borneo di sini, malam tadi.

Bermukun Se-Borneo 2024 ialah program yang memartabatkan seni budaya bermukun dalam kalangan masyarakat serantau, melibatkan Malaysia, Indonesia, dan Brunei melalui kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Radio Republik Indonesia (RRI), dan Radio Televisyen Brunei (RTB).

Sejak dimulakan pada tahun 2000, kerjasama serumpun tiga negara ini menjadi platform penting dalam membina masyarakat yang berjati diri kukuh, memelihara warisan budaya, serta menanam rasa prihatin terhadap sumbangan seni dan budaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan