WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AHMAD ZAHID ADAKAN LAWATAN RASMI KE UAE BERMULA HARI INI

13/11/2024 04:17 PM

Daripada Zarul Effendi Razali

ABU DHABI, 13 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengadakan lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula hari ini hingga 19 Nov.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan ia merupakan lawatan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara pada 2024 selepas lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UAE pada Oktober tahun lepas.

"Ia menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha mengukuhkan hubungan dan memupuk kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara, sejak hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada September 2022," menurut kenyataan itu.

Ahmad Zahid akan diiringi pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan serta wakil daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Semasa lawatan, Ahmad Zahid dijadualkan terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi, tertumpu kepada pengukuhan kerjasama dua hala dengan penekanan khusus kepada sektor utama seperti inudstri halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kecerdasan buatan (AI).

Delegasi juga akan mengunjungi Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence dan berinteraksi dengan wakil daripada G42, sebuah syarikat AI terkemuka di UAE.

Sebagai sebahagian daripada lawatan, Ahmad Zahid bakal merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Dubai 2024 dan bertemu dengan pihak berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha mempromosikan dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.

"Pada 2023, UAE merupakan pengimport terbesar produk halal Malaysia dalam kalangan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

"UAE juga ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dari rantau Asia Barat," menurut kenyataan itu.

Dari Januari hingga September tahun ini, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE meningkat sebanyak 16.03 peratus kepada RM32.85 bilion (US$7.5bilion) berbanding RM28.31 bilion (US$6.5 bilion) bagi tempoh sama pada 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan