WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELANJAWAN SABAH 2025: BANTUAN RM300 SEBULAN UNTUK GOLONGAN MISKIN DAN MISKIN TEGAR

15/11/2024 06:52 PM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah memberi bantuan RM300 sebulan untuk tempoh setahun kepada golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini menerusi Belanjawan Sabah 2025.

Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini berkata inisiatif yang julung kali diadakan itu melibatkan peruntukan RM358.5 juta.

Beliau berkata golongan miskin dan miskin tegar yang layak diberikan bantuan berkenaan telah dikenal pasti menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat dan is antara lain diharap dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang tinggi kini.

“Bantuan ini juga diharap dapat mengurangkan beban kewangan dalam tempoh tertentu sekali gus memberi ruang kepada mereka menyesuaikan diri dan mencari ikhtiar lain dalam menambah pendapatan,” katanya.

Masidi berkata sebagai usaha berterusan bagi memastikan golongan tersebut tidak ketinggalan daripada arus pembangunan, taraf hidup dan ekonomi kerajaan Sabah juga memperuntukkan RM488.5 juta untuk melaksanakan pelbagai program membasmi kemiskinan.

Beliau berkata sebanyak RM250 juta diperuntukan bagi pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 kawasan DUN, peningkatan peruntukan 100 peratus berbanding belanjawan tahun ini.

“Setakat bulan lepas sebanyak 4,482 Rumah Mesra SMJ telah dibina bagi membolehkan  golongan miskin dan miskin tegar ini memiliki kediaman mereka sendiri, tempat untuk mereka serta keluarga berteduh,” katanya.

Selain itu, beliau berkata peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan sah juga buat julung kali diberikan bantuan sekali bayar sebanyak RM5,000.

Masidi berkata RM214 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja di bawah peruntukan khas dan projek pembangunan kecil bagi pembinaan serta penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam di seluruh Sabah.

Beliau berkata RM19.5 juta pula diperuntukkan untuk Program Pembangunan Kecil, Program Penyediaan Kemudahan dan Pembaikan Kawasan, Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan.

“Pelan Pembangunan SMJ  di bawah teras inisiatif utama Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat menggariskan mengenai inisiatif pembasmian kemiskinan sebagai satu daripada usaha ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan