WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA TAMPILKAN WARISAN BUDAYA DAN KULINARI DI BERLIN

16/11/2024 11:35 AM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Berlin, Jerman mempromosikan diplomasi budaya dan kulinari menerusi penganjuran pelbagai acara seperti bengkel memasak dan gala budaya bagi memperkenalkan tradisi Malaysia yang pelbagai.

Dalam satu kenyataan, kedutaan memaklumkan bahawa acara-acara kulinari dan budaya berjaya disempurnakan pada 12 Nov, menandakan pencapaian penting dalam usaha meraikan dan memperkenalkan warisan budaya serta kulinari Malaysia dengan komuniti di Jerman.

“Acara-acara ini mempamerkan warisan budaya dan kulinari Malaysia yang kaya dan menerima sambutan amat positif daripada para hadirin.

"Ia juga bertujuan menggalakkan pertukaran budaya dan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jerman,” menurut kenyataan itu.

Di bawah inisiatif diplomasi budaya dan kulinari, kedutaan dengan kerjasama Palladin Cooking School menganjurkan acara “Lunch and Learn with Datuk Chef Ismail” pada 7 Nov dan para pelatih muda diberi tugas mempelajari dan menyediakan hidangan Malaysia.

“Acara ini turut mempromosikan diplomasi kulinari dan pelancongan, dengan menonjolkan juadah istimewa Negeri Sembilan, iaitu ‘Lemak Cili Padi Daging Salai’.

Ia menawarkan peluang untuk merasai dan memperkenalkan masakan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan juga menganjurkan acara eksklusif “Culinary Diplomacy: A Session with Dato’ Chef Ismail Ahmad” pada malam itu bagi pelajar antarabangsa dari Institut Kebudayaan (ICD) serta para diplomat.

“Acara ini berjaya mempamerkan kepelbagaian dan kekayaan tradisi kulinari Malaysia,  menekankan peranan penting makanan dalam diplomasi budaya dan hubungan antarabangsa. Ia juga mempromosikan juadah Kurma,” katanya.

Minggu Diplomasi Kulinari diteruskan di Goldhahn and Sampson pada 8 Nov, dan Kedutaan Malaysia mengadakan bengkel memasak bersama Dato’ Chef Ismail Ahmad dengan para peserta berpeluang menikmati hidangan “Laksa Nyonya Melaka” dan “Acar Jelatah.”

Gala Budaya 2024 anjuran Malaysia Club Deutschland (MCD) pula diadakan di Frankfurt pada 2 Nov.

Selain itu, kedutaan turut menganjurkan sesi “A Malaysian Movie Scope” yang menayangkan filem bertajuk "Ola Bola" pada 25 Okt dan 12 Nov di ICD serta Humboldt University Berlin.

Acara itu mendapat sambutan hangat dari penonton, yang memuji penyampaian mesej perpaduan sosial dan sinematografi yang mengagumkan.

Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin, berkata filem itu dipilih untuk menonjolkan kepentingan perpaduan nasional, keharmonian kaum, dan identiti negara.

Kedutaan memaklumkan bahawa acara-acara ini menarik perhatian komuniti diplomatik, penduduk tempatan serta diaspora Malaysia di Jerman.

“Aktiviti-aktiviti ini dipuji kerana menyampaikan budaya Malaysia yang autentik dan menarik, serta pendekatannya yang bersifat mendidik dan inklusif.

“Kedutaan Malaysia di Berlin komited untuk terus memupuk pemahaman budaya dan akan terus menganjurkan acara-acara yang mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Jerman,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan