WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SULTAN SHARAFUDDIN ISYTIHAR GOMBAK-HULU LANGAT GEOPARK KEBANGSAAN PERTAMA SELANGOR

16/11/2024 12:06 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark sebagai geopark kebangsaan pertama di Selangor. 

Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin pada majlis pengisytiharan itu disambut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. 

Pada majlis berkenaan, Sultan Sharafuddin berkenan menyempurnakan lafaz perasmian seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik pengisytiharan geopark berkeluasan 112,955 hektar merentasi daerah Gombak dan Hulu Langat. 

Sementara itu, Nik Nazmi dalam sembah ucapannya berkata dengan pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan ketujuh ini, GHL Geopark diharapkan mampu melangkah ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) dan kukuh menjadi hab geopelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan.

Beliau berkata GHL Geopark menampilkan 31 geotapak dengan 20 daripadanya telah diiktiraf sebagai kawasan pelancongan eko dan geo, dengan landskap semula jadi dan geologi Selangor yang masih kekal terpelihara.

Antara 20 tapak berkenaan ialah Gua Batu Caves, Granit Kuala Lumpur, Permatang Kuartza Gombak, Syis Selut Karak bagi daerah Gombak dan Puncak Granit Gunung Nuang, Kompleks Mata Air Panas Dusun Tua serta Air Terjun Sungai Tekala di Hulu Langat. 

Nik Nazmi berkata GHL Geopark adalah satu-satunya geopark yang berada dalam kawasan bandar sekali gus membuktikan pembangunan wilayah dengan warisan berkepentingan geologi, biologi dan budaya, tidak dipinggirkan dalam arus pemodenan dan urbanisasi.

“Ini adalah bukti usaha kita dalam memelihara kelestarian alam semula jadi dan menguruskan kawasan berkepentingan kebangsaan yang memiliki nilai geotapak luar biasa dengan lestari,” katanya.

Sebanyak 10 Geopark Kebangsaan telah diiktiraf setakat ini termasuk GHL Geopark, Jerai di Kedah, Kinta dan Lenggong di Perak, Labuan, Sarawak Delta (Sarawak), Stong (Kelantan), Kenyir (Terengganu), Perlis dan Lipis (Pahang).

Dua geopark yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO Global Geopark (UGGp) adalah Langkawi dan Kinabalu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan