WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBINAAN TUJUH RTB DI MELAKA BABIT PERUNTUKAN RM1.006 BILION - TPM FADILLAH

16/11/2024 02:03 PM

ALOR GAJAH, 16 Nov (Bernama) -- Tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sedang dilaksanakan pembinaannya di Melaka membabitkan peruntukan berjumlah RM1.006 bilion, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi (PETRA) berkata antaranya membabitkan RTB Alor Gajah Fasa 1 di Kampung Tebat di sini, melibatkan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Beliau berkata projek berkenaan membabitkan beberapa skop seperti membina kolam takungan banjir dan aliran air bagi memudahkan aliran air ke sungai.

"Kemudian juga ada benteng-benteng yang akan dibina untuk mencegah kawasan rendah daripada limpahan air. 

“Kalau siap projek ini, insya-Allah targetnya untuk melindungi lebih kurang 1,270 penduduk di kawasan ini daripada banjir berdasarkan kajian yang kita buat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau RTB berkenaan bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini hari ini.

Beliau berkata projek berkenaan bermula pada 16 Ogos 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2025 dan setakat ini berjalan lancar.

Enam lagi projek sama membabitkan RTB Sungai Melaka Fasa 1 di Durian Tunggal membabitkan kos RM40 juta; Projek Menaiktaraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai Kolam Dwi Fungsi untuk Tebatan Banjir dan Sumber Air Melaka (RM603 juta) dan RTB Sungai Duyong (RM163.8 juta).

Selain itu, RTB Bandar Merlimau (RM36 juta); RTB Bandar Jasin (RM60 juta) dan RTB Sungai Putat (RM72.83 juta).

Terdahulu, Fadillah menyaksikan Majlis Penyerahan Projek-projek Siap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Kerajaan Negeri Melaka di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Ia membabitkan lima projek melibatkan peruntukan berjumlah RM28.6 juta, merangkumi Projek Pemuliharaan Muara-Muara Sungai di Melaka iaitu di Muara Sungai Baru dan Muara Sungai Punggor.

Selain itu, Projek Mencegah Hakisan Pantai Telok Gong, Kerja-kerja Pemasangan dan Naiktaraf Peralatan Mekanikal dan Elektrikal bagi Stesen Rangkaian Hidrologi Nasional (RHN) serta Projek Pembinaan Stesen Hidrologi Telemetri untuk Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan