WILAYAH - TIMUR > BERITA

ICU JPM LAKSANA 62 KURSUS KEMAHIRAN BANTU LEBIH 1,100 KIR DI KELANTAN

16/11/2024 02:50 PM

KUALA KRAI, 16 Nov (Bernama) -- Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan telah melaksanakan 62 kursus kemahiran melibatkan 1,157 ketua isi rumah (KIR) setakat ini.

Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan ICU JPM Jasri Kasim berkata daripada jumlah berkenaan, 242 orang telah dibantu dengan dibekalkan barangan keperluan dan peralatan untuk membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan sekali gus menoktahi kemiskinan tegar dalam kalangan mereka.

“Antara kursus kemahiran yang disediakan adalah perniagaan burger, ayam gunting, pembuatan kopi,  jahitan dan gunting rambut.

“Kita akan sentiasa memainkan peranan sebagai penghubung utama antara jabatan dan rakyat bagi memastikan kebajikan mereka terus diutamakan,” katanya kepada Bernama pada Program Jelajah eKasih @ Kuala Krai di sini hari ini.

Jasri berkata hasil pendekatan turun padang melalui acara kayuhan MADANI sepanjang lapan siri jelajah yang dianjurkan pihaknya, 20 KIR telah menerima bantuan bina rumah baharu Kasih Ihsan manakala 10 KIR lagi bagi bantuan baik pulih rumah.

Kerajaan Persekutuan menerusi ICU JPM memperuntukkan sejumlah RM15.4 juta bagi projek bina baharu dan baik pulih rumah di Kelantan dalam usaha menoktahi kemiskinan tegar di negeri berkenaan pada tahun ini.

Peruntukan itu melibatkan RM9.6 juta bagi bantuan bina rumah baharu kepada 120 KIR manakala RM5.8 juta lagi bagi bantuan baik pulih 240 rumah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan