KAJANG, 16 Nov (Bernama) -- Individu terlibat penyebaran video didakwa berkaitan isu rasuah melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masih belum tampil membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata beliau telah mengarahkan dua pegawai kanan SPRM untuk berjumpa peguam yang mewakili individu berkenaan bagi membincangkan perkara itu secara sulit.
"Ini kerana kita hormati profesion peguam yang mewakili anak guam terbabit.
"Namun, mereka telah pergi ke media dan timbul pelbagai cerita dan saya tak nak komen mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media 2024 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di sini yang turut disertai lebih 70 pengamal media.
Bernama semalam melaporkan Azam berkata peguam itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 30 Okt lepas untuk memberi maklumat berhubung isu rasuah serta ingin meminta perlindungan dan imuniti di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010, supaya anak guamnya tidak disiasat dan dituduh di mahkamah .
Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN itu didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri.
Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan, namun wajahnya tidak kelihatan yang meminta ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan.
Sementara itu, mengenai siasatan kes kegiatan memunggah keluar hasil galian tanpa mengikut prosedur sah di Kuantan, Pahang, Azam berkata SPRM dalam peringkat menyita bauksit yang sudah dibawa ke Terengganu.
Beliau berkata daripada tiga individu dilaporkan telah ditahan, seorang daripada mereka yang bergelar Datuk Seri telah dikenal pasti sebagai dalang membawa hasil galian itu dari Pahang ke Terengganu.
“Kita dapati ada unsur penyelewengan kerana permit tidak dikeluarkan terhadap syarikat berkenaan.
“Selain SPRM, polis juga telah mengambil tindakan terhadap perkara ini dan kita akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyita akaun syarikat berkenaan,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang pegawai agensi kerajaan negeri antara tiga individu ditahan dalam serbuan SPRM di Kuantan, kerana disyaki terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan memunggah keluar hasil galian dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur sah.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Azam berkata perlindungan pemberi maklumat perlu dilakukan mengikut undang-undang dan prosedur bagi menjamin keberkesanan dan mengelakkan penyalahgunaan.
Menurut beliau, isu pemberi maklumat sering disalah erti segelintir ahli masyarakat yang beranggapan sesiapa sahaja dengan mempunyai maklumat mengenai rasuah boleh memohon perlindungan pemberi maklumat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial