WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENUMPANG DILARANG GUNA BAGASI PINTAR DI APRON LAPANGAN TERBANG - CAAM

18/11/2024 05:34 PM

PUTRAJAYA, 18 Nov (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan arahan keselamatan yang melarang penggunaan bagasi pintar atau ‘skuter’ sebagai mod pengangkutan dalam kawasan apron lapangan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Kapt Norazman Mahmud dalam arahan keselamatan bertarikh 15 Nov berkata walaupun bagasi pintar yang boleh ditunggang itu menawarkan kemudahan kepada penumpang namun penggunaannya seperti di apron boleh menimbulkan risiko keselamatan.  

Beliau berkata kawasan itu terdapat  jentera berat, pesawat, kenderaan perkhidmatan darat dan petugas sekali gus memerlukan pematuhan ketat terhadap peraturan keselamatan untuk mengelakkan kemalangan dan kerosakan peralatan.

"Untuk mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan lapangan terbang adalah penting untuk melarang sepenuhnya penggunaan bagasi pintar di kawasan larangan, menetapkan had laju di zon dibenarkan, dan mendidik penumpang dan petugas tentang amalan penggunaan yang selamat," katanya.

Sehubungan itu, Norazman berkata penggunaan bagasi pintar itu tidak dibenarkan digunakan melebihi kawasan tertentu seperti ruang terminal dan zon menunggu selain papan tanda larangan perlu dipasang untuk memaklumkan para pengguna. 

Beliau berkata bagasi pintar yang dilengkapi motor elektrik perlu dinyahaktifkan sepenuhnya termasuk komponen bateri sebelum dibawa masuk ke kawasan apron.

Petugas di lapangan perlu dilatih mengenal pasti bagasi pintar yang boleh ditunggang dan melaksanakan protokol keselamatan untuk mengendalikannya termasuk melaporkan segera sebarang penggunaan di kawasana apron kepada pengendali lapangan terbang atau pekerja keselamatan.

"Selain itu, penyedia perkhidmatan pengendalian darat perlu memastikan semua petugas mengetahui prosedur yang betul untuk memuatkan, menyimpan dan mengangkut bagasi pintar, terutamanya jika ia mengandungi bateri litium atau komponen elektrik lain yang mungkin menimbulkan risiko keselamatan," katanya.

Syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang juga dinasihatkan untuk memaklumkan memasukkan arahan keselamatan itu menerusi pengumuman prapenerbangan termasuk pada tiket.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan