WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU KESESAKAN DI BSI DAN KLIA, KONTROVERSI NAFAS ANTARA TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

19/11/2024 09:52 AM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Isu pekerja berpendidikan tinggi bekerja di sektor kemahiran rendah, kontroversi melibatkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), masalah kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen Malaysia, R. Yuneswaran (PH-Segamat) akan membangkitkan persoalan kepada Menteri Dalam Negeri mengenai inisiatif dan langkah yang telah dan akan dilaksanakan bagi menangani kesesakan di BSI dan KLIA, dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN- Alor Setar) akan mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Manusia berhubung usaha dan pelan kerajaan dalam menangani 1.95 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia yang bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah.

Sim Tze Tzin (PH- Bayan Baru) pula meminta penjelasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai kontroversi yang berlaku dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) serta halatuju kementerian dalam menstruktur semula pertubuhan itu.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan, Azli Yusof (PH-Shah Alam) bertanyakan kepada Menteri Kesihatan mengenai jumlah keseluruhan perbelanjaan tahunan pembelian ubat-ubatan bagi hospital dan klinik kerajaan bermula tahun 2015 serta jangkaan untuk lima tahun akan datang.

Beliau juga ingin mengetahui perancangan kementerian tersebut untuk memastikan keterjaminan bekalan ubat-ubatan negara melalui pembangunan teknologi dan kapasiti pengeluaran tempatan.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pula akan membangkitkan sasaran bilangan pelatih dan kadar kebolehpasaran lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian bagi tempoh 2024 hingga 2030, dalam usaha mencapai matlamat utama yang ditetapkan oleh Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030, kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Dalam sesi sama, Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan keputusan terkini mesyuarat Kabinet mengenai pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3), serta faktor-faktor yang menyebabkan kajian awal mengenai jajaran lebuh raya tersebut perlu dikaji semula.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh menteri daripada setiap kementerian terlibat.

Antara kementerian yang jadualkan terlibat ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan