WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SASARAN SEKURANG-KURANGNYA 50 PERATUS PENGGIAT SENI CARUM KWSP - FAHMI

19/11/2024 04:32 PM

SHAH ALAM, 19 Nov (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 70,000 pekerja industri kreatif khususnya bidang perfileman disasarkan mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 3,925 penggiat seni telah mencarum dalam i-Saraan KWSP sejak 2010 melibatkan jumlah caruman sebanyak RM28.33 juta, RM1.48 juta Insentif Khas Kerajaan dan RM231.94 juta dalam bentuk simpanan KWSP. 

Fahmi berkata daripada jumlah pencarum berkenaan, sebanyak 44 peratus (1,709 individu) ialah lelaki dan 56 peratus wanita (2,216 individu).

“Jadi, kita akan menggerakkan jentera di bawah FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) untuk meningkatkan pemahaman dalam kalangan penerbit supaya mereka akan mencarumkan pekerja bagi projek-projek mereka supaya ada caruman dalam KWSP dan ini akan menjadi asas insya-Allah, kepada masa depan yang lebih baik untuk pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KWSP dengan FINAS di Menara KWSP Kwasa Damansara di sini hari ini. 

Fahmi berkata beliau juga akan berhubung dengan pihak Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan memohon supaya penerbit memastikan pekerja yang terlibat dalam projek kreatif, mencarum.

MoU terbabit ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi FINAS Datuk Kamil Othman. 

Mengenai MoU itu, Fahmi berkata ia merupakan langkah yang amat bermakna dan tepat pada masanya untuk melindungi serta memperkukuh kebajikan penggiat industri kreatif negara.

Melalui memorandum berkenaan, FINAS dan KWSP bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan memperluas Skim KWSP kepada penggiat seni dan industri kreatif serta hiburan.

“Ini bermakna penggiat seni meliputi pelakon, kru produksi, penulis skrip, pengarah dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam industri ini, kini boleh menikmati perlindungan yang sebelum ini mungkin terhad kepada sektor formal sahaja,” katanya.

Selain itu, MoU berkenaan merangkumi usaha memperkukuh isu kebajikan pekerja seperti perlindungan insurans, standard kontrak kerja yang lebih baik serta promosi berterusan skim caruman KWSP.

Fahmi berkata keprihatinan kerajaan dalam menyokong pembangunan industri seni kreatif tempatan dizahirkan melalui pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025, dengan peruntukan RM65 juta di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) bagi mempromosikan karya tempatan yang berteraskan semangat kenegaraan.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan hampir RM40 juta menerusi Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk menyokong penerbitan filem antarabangsa di Malaysia serta membuka peluang kepada kolaborasi global.

Pada masa sama, sejumlah RM30 juta diperuntukkan untuk Program Belia Seni Kreatif yang bakal memberi manfaat kepada 16,000 anak muda dalam bidang berkenaan.

“Saya percaya melalui memorandum ini, ramai golongan belia dapat menerima faedahnya termasuk perlindungan kebajikan yang lebih menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan