WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM DUA TAHUN KERAJAAN MADANI DAN KONVENSYEN NASIONAL REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM BERMULA ESOK

21/11/2024 10:56 AM

Oleh Aisha Hani Nor Azmir

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang akan bermula esok hingga Ahad di Pusat Kovensyen Kuala Lumpur merupakan platform terbaik bagi menghubungkan rakyat, kerajaan dan perkhidmatan awam.

Pelaksanaan kedua-dua program yang diadakan serentak ini juga disifatkan tepat pada masanya, khususnya dalam usaha memperkukuh hubungan antara sektor awam dan rakyat demi mencapai pembangunan negara yang lebih inklusif dan mampan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah Tunku Nashril-Abaidah berkata penganjuran program tersebut dapat memberi pendedahan kepada rakyat mengenai pencapaian serta usaha-usaha kerajaan, terutamanya dalam melaksanakan reformasi perkhidmatan awam.

"Manfaat program ini dapat dilihat melalui tiga elemen utama, iaitu pentadbiran atau kerajaan yang merangka dasar; perkhidmatan awam sebagai penyedia perkhidmatan kepada masyarakat (pelaksana); dan rakyat sebagai penerima perkhidmatan yang boleh memberikan maklum balas secara langsung kepada kerajaan dan perkhidmatan awam.

"Di sini, kita dapat melihat ekosistem yang saling berkait antara kerajaan, perkhidmatan awam, dan rakyat. Setiap elemen memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan dasar dan perkhidmatan yang disediakan, selain memperkukuh mekanisme maklum balas untuk penambahbaikan secara berterusan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur - Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia, iaitu agenda utama Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024, menzahirkan iltizam dan komitmen Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta Ketua-Ketua Setiausaha dalam merealisasikan agenda reformasi perkhidmatan awam bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Senada dengan beliau, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata rakyat dapat menerima manfaat secara langsung menerusi penganjuran program yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan termasuk tawaran peluang pekerjaan. 

Katanya, kerajaan dan perkhidmatan awam juga dapat mengetengahkan inisiatif yang lebih abstrak, khususnya pencapaian dalam aspek reformasi, dengan menekankan penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan serta ketelusan yang membawa manfaat langsung kepada rakyat dan pembangunan negara.

"Menerusi program ini, kerajaan dan sektor awam dapat mempersembahkan strategi terkini untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kualiti tadbir urus.

"Ini juga dapat memupuk kerjasama yang lebih erat antara agensi kerajaan dan masyarakat. Program ini turut berfungsi sebagai platform untuk menjelaskan jangkaan terhadap pencapaian kerajaan pada masa hadapan," katanya.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi pengiktirafan atas pencapaian ekonomi hasil dasar yang diperkenal bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara, sepanjang dua tahun mentadbir Putrajaya.

Katanya, pencapaian Kerajaan Perpaduan ini juga telah melangkaui jangkaan walaupun berdepan cabaran dalaman dan cabaran global termasuk ketidaktentuan pasaran antarabangsa dan inflasi. 

Program 2TM, dengan tema 'MADANI di Hati, Rakyat Disantuni', yang akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi, dan jabatan kerajaan kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan program tersebut pada pukul 11 pagi, Sabtu ini.

Selain pameran perkhidmatan daripada pelbagai kementerian, program ini turut menawarkan banyak aktiviti dan tawaran menarik untuk pengunjung, termasuk reruai usahawan dan Jualan Rahmah MADANI.

Kira-kira 3,000 kekosongan kerja pelbagai jawatan ditawarkan dalam program ini, termasuk perjawatan oleh 40 majikan melalui karnival kerjaya dengan 150 perkhidmatan terpilih menanti pengunjung.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyediakan kaunter bayaran saman dan pertukaran topi keledar selain perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, tawaran pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 60 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan