WILAYAH - SARAWAK > BERITA

2TM: ORANG RAMAI DIPELAWA TUKAR AL-QURAN TIADA PERAKUAN KDN, ROSAK

21/11/2024 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Orang ramai dipelawa menyerahkan al-Quran tiada perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau rosak untuk diganti dengan yang baharu, bersempena dengan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari bermula esok.

KDN menerusi infografik memaklumkan pertukaran melalui program "Jom Exchange Al-Quran (JEQ)" itu terhad kepada satu naskah al-Quran setiap seorang.

Program 2TM dengan tema "MADANI di Hati, Rakyat Disantuni" yang akan berlangsung dari 9 pagi hingga 6 petang itu menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kepada rakyat. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan program berkenaan Sabtu ini. 

Selain pameran perkhidmatan daripada kementerian-kementerian, pelbagai aktiviti dan tawaran menarik menanti orang ramai yang hadir pada program ini antaranya reruai usahawan serta Jualan Rahmah MADANI.

Kira-kira 3,000 kekosongan kerja pelbagai jawatan ditawarkan pada program berkenaan selain perjawatan oleh 40 majikan pada karnival kerjaya dengan 150 perkhidmatan terpilih menanti pengunjung.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyediakan kaunter bayaran saman dan pertukaran topi keledar selain perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, tawaran pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 60 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan