WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KONVENSYEN NASIONAL REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM SELARI PERKEMBANGAN, CABARAN SEMASA

24/11/2024 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Penganjuran Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 membuktikan keseriusan pimpinan tertinggi negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam mereformasi dan membugarkan perkhidmatan awam. 

Pengarah Seksyen Pemantauan dan Keurusetiaan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Nurdiana Puaadi berkata reformasi itu perlu dilakukan mengambil kira perubahan dan perkembangan teknologi semasa yang 'hadir' bersama cabaran berbeza daripada sebelum ini. 

"Sepanjang konvensyen, lapan forum dan satu sesi plenari telah berlangsung dengan topiknya berkait isu dan keperluan semasa. Selain itu, penganjurannya yang serentak dengan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) juga memberi peluang untuk rakyat memahami dasar dan inisiatif kerajaan," katanya. 

Nurdiana berkata demikian semasa ditemui selepas menghadiri majlis penutup konvensyen itu yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat JPA Diyana Hassim berpandangan penganjuran konvensyen itu yang padat dengan pengisian ilmiah daripada pihak kerajaan, swasta dan akademik menunjukkan kesungguhan kepimpinan tertinggi negara dalam agenda reformasi perkhidmatan awam.   

"Agenda reformasi perkhidmatan awam adalah satu skop sangat besar dan kita boleh lihat kerajaan serius membawa perubahan dalam perkhidmatan awam bagi memberikan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan pantas kepada rakyat. 

"Sebagai penjawat awam dan juga rakyat, saya gembira dengan usaha ini kerana perubahan, penambahbaikan ini juga memanfaatkan kita semua. Jadi kita perlu bersama-sama menyambut perubahan yang dilakukan," katanya. 

Penolong Pegawai Penerangan Jabatan Imigresen Helman Ramolo, 46, berkata konvensyen berkenaan dapat menambah baik tugas perkhidmatan awam selain memberi panduan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik mengikut keperluan semasa.

"Selain itu, ditampilkan juga pavilion dan reruai kementerian dan agensi kerajaan yang bertujuan mendedahkan kepada orang ramai berkaitan usaha dan agenda kerajaan selain memperkenalkan perkhidmatan yang terkini," katanya. 

Prrogram 2TM dan konvensyen yang bertemakan 'MADANI di Hati, Rakyat Disantuni' bertujuan mempertingkatkan pemahaman rakyat terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam mereformasi perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir di konvensyen itu semalam, turut melancarkan Deklarasi Kuala Lumpur: Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia, yang melambangkan komitmen kukuh untuk melaksanakan reformasi secara menyeluruh dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi pentadbiran negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan