WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN TELITI CADANGAN WARGA EMAS JALANI PENILAIAN KOMPETENSI - LOKE

25/11/2024 07:45 PM

SEPANG, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan akan meneliti cadangan supaya warga emas berusia 65 tahun ke atas perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan, sebelum memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya menyambut baik cadangan tersebut, namun ia memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang ketetapan dibuat mengenainya.

“Itu kita kena kaji dulu laporan (cadangan) tersebut. Kita tidak terburu-buru untuk meletakkan apa-apa syarat tambahan. 

“Sudah tentu ada implikasinya dan kita kena lihat kelebihan dan kekurangannya apabila apa-apa syarat tambahan (baharu) diletakkan,” katanya.

Loke berkata demikian bagi mengulas isu kerelevanan pemandu berusia 65 tahun melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan sebelum memperbaharui lesen mereka.

Beliau turut menegaskan sebarang usaha memperkenalkan syarat tambahan baharu perlu dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak memberikan implikasi yang negatif.

Sebelum ini media melaporkan peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu warga emas di negara ini boleh dikurangkan jika syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu untuk golongan tersebut diperkenalkan.

Antara syarat yang boleh diusulkan ialah warga emas berusia 65 tahun ke atas yang masih ingin memandu, perlu melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan, berikutan tiada had umur maksimum untuk golongan itu memandu di jalan raya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata satu tapak di Nilai, Negeri Sembilan akan dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai pusat logistik negara.

“Jadi memang Kerajaan Negeri Sembilan juga menyambut baik dan mereka sedang mengenal pasti tanah tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada mesyuarat hari ini memberi taklimat berkenaan dengan insentif untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam Smart Logistics Complex.

“Insentif ini telahpun diumumkan iaitu pelepasan cukai sehingga 70 peratus kepada pelabur-pelabur yang melabur dalam Smart Logistics Center seperti diumumkan semasa pembentangan Bajet 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan