WILAYAH - SELATAN > BERITA

NEGERI SEMBILAN SEMAK SEMULA ENAKMEN PENGAWALAN SEKOLAH AGAMA ISLAM 1996

26/11/2024 06:46 PM

SEREMBAN, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sedang menyemak semula Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1996.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tindakan itu bagi memperkukuh pemantauan dan kawalan terhadap institusi pendidikan agama di negeri ini dalam memastikan sekolah agama termasuk tahfiz, madrasah, pondok dan sekolah agama rakyat mematuhi standard pendidikan serta keselamatan ditetapkan.

Beliau berkata pihaknya turut memperkasakan kurikulum sekolah dengan membangunkan Kurikulum Asas Sekolah Islam Negeri Sembilan (KASINS). 

"KASINS bertujuan menyediakan asas pendidikan Islam yang inklusif dan sistematik, membina kemahiran dalam pelbagai bidang ilmu, serta meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap pendidikan agama anak-anak mereka selain berperanan mengawal kurikulum di sekolah Islam swasta agar selari dengan akidah Ahli Sunah Waljamaah.

"Setakat ini 33 sekolah Islam swasta mengikuti KASINS yang diperkenalkan ini," katanya menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) yang disampaikan Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) yang ingin tahu pelan kerajaan negeri dalam memartabatkan pendidikan Islam di negeri ini.

Aminuddin berkata kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sembilan (UPEN) terus memperkasakan program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar tahfiz, madrasah dan pondok. 

Beliau berkata kerajaan negeri juga menyalurkan sumbangan berjumlah RM17,640 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) untuk pelaksanaan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dan RM6,220 bagi Program Adab dan Nilai untuk kejayaan pelajar cemerlang anak-anak Negeri Sembilan dalam program Majlis al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Peringkat Kebangsaan tahun ini. 

Sementara itu, Aminuddin berkata bagi membanteras penyebaran ajaran sesat di negeri ini, Jabatan Mufti telah mengambil langkah memfatwa dan mewartakan ajaran didapati menyeleweng dan berlawanan dengan akidah dan syariah Islam berdasarkan al-Quran dan Sunah.

Antara tindakan diambil Jabatan Mufti dalam mendidik masyarakat mengenai bahaya ajaran sesat, katanya ialah dengan melaksanakan Program Irsyad Fatwa secara tahunan bertujuan menyebarluaskan kepada masyarakat khususnya berkaitan akidah dan syariah.

"Kerajaan negeri melalui Polis Kontinjen Negeri Sembilan juga sentiasa menjalankan risikan dan pemantauan berterusan terhadap kumpulan atau ajaran meragukan, sesat dan bertentangan dengan hukum syarak. 

 "JHEAINS sedang melipatgandakan usaha memberi kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat melalui program keagamaan," katanya menjawab soalan Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN-Juasseh) yang ingin tahu tindakan proaktif dirancang untuk mendidik masyarakat tentang bahaya ajaran sesat dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti terbabit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan