WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERANAN IIM TERUS DIPERKUKUH, BANTU PERKEMAS TATAKELOLA BAIK - KSN

28/11/2024 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Peranan Institut Integriti Malaysia (IIM) perlu terus diperkukuh untuk memperkemas aspek tatakelola bukan sahaja dalam sektor awam malah semua segmen masyarakat, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI yang berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara berintegriti tinggi selain dihormati di peringkat global.

Shamsul Azri berkata langkah IIM yang melancarkan pelan strategik dengan empat teras utama baru-baru ini dilihat signifikan untuk mencapai matlamat itu.

“Teras utama ini merangkumi peranan IIM sebagai badan pemikiran perdana yang unggul di peringkat  nasional dan antarabangsa serta memperkukuh kerjasama strategik di dalam dan luar negara untuk memperluas amalan terbaik integriti.

“Selain itu, IIM menggalas peranan sebagai organisasi utama dalam pendidikan dan advokasi integriti dan melestarikan tatakelola yang mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Dua Dekad IIM di Auditorium IIM malam ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif IIM Rahman Mohd Din dan Tan Sri Kamaluddin Abdullah mewakili bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi,.

Shamsul Azri turut mengingatkan setiap individu khususnya penjawat awam agar bertanggungjawab dalam melaksanakan setiap tindakan dengan jujur dan adil serta tidak terjebak dalam kancah rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata nilai integriti adalah tunjang kepada sistem pentadbiran negara bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk kebaikan rakyat dan bukan demi kepentingan peribadi.

“Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang digerakkan kerajaan ketika ini menerapkan nilai integriti yang menjadi antara Teras Keberhasilan Reformasi Pertama iaitu Penghayatan Nilai dan Tatakelola di bawah Strategi Integriti dan Akauntabiliti.

“Sebagai pemimpin, kita memikul tanggungjawab besar untuk memastikan budaya integriti terus subur…kita perlu menjadi teladan dengan menunjukkan integriti dalam setiap tindakan kita kerana kepercayaan rakyat terhadap kerajaan adalah aset yang tidak ternilai harganya,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan