WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA MILIKI POTENSI SEBAGAI HAB SERANTAU BAGI PENGELUARAN, INOVASI EV - FADILLAH

04/12/2024 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Malaysia berpotensi menjadi hab serantau bagi pengeluaran dan inovasi kenderaan elektrik (EV), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata pertumbuhan industri mobiliti itu memberikan peluang besar kepada pembuat tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berintegrasi dengan rantaian bekalan global.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata Aspirasi Pelaburan Nasional Malaysia bermatlamat untuk menjadikan negara sebagai hab rantaian bekalan global dengan menarik pelaburan berkualiti tinggi di samping meningkatkan keupayaan industri tempatan.

“Inisiatif strategik ini menumpukan kepada penyepaduan pembuat tempatan dan PKS ke dalam rantaian bekalan global, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 di sini, pada Rabu.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

KLIMS 2024, bertemakan “Beyond Mobility”, dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan dikendalikan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.

Fadillah berkata KLIMS 2024 adalah acara penting untuk mempercepat visi, menghimpunkan pihak berkepentingan dari seluruh dunia dan bekerjasama serta membangunkan  penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Beliau juga berkata KLIMS 2024 berperanan sebagai platform terbaik dalam mengetengahkan teknologi automotif secara langsung, disokong kerjasama serantau Malaysia melalui inisiatif Grid Kuasa ASEAN, sejajar dengan kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia untuk menjamin masa depan tenaga mampan.

Timbalan Perdana Menteri menyeru oleh yang demikian, pihak berkepentingan khususnya peneraju industri mobiliti, penggubal dasar, inovator dan pengguna untuk bekerjasama dalam memacu misi itu.

“Malaysia komited dalam membina masa depan yang mampan untuk generasi akan datang. Pengangkutan, sebagai antara penyumbang terbesar kepada pelepasan gas rumah hijau, merupakan bidang penting dalam pelan peralihan tenaga negara kita.

“Penggunaan EV dan kenderaan hibrid oleh kalangan pengguna akan memacu negara kita lebih dekat kepada matlamat kemampanan, dengan inisiatif transformatif seperti KLIMS berperanan penting dalam menyebarluaskan minat, kerjasama dan tindakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KLIMS 2024, Mohd Samsor Mohd Zain berkata acara tersebut menghimpunkan pemain global dan tempatan untuk mempamerkan produk dan idea masing-masing.

Beliau berkata acara itu mengetengahkan pelbagai rangkaian teknologi dan penyelesaian automotif  termaju, termasuk kenderaan dua dan tiga roda, penyelesaian mobiliti peringkat akhir serta inovasi yang memfokuskan kepada masa depan yang membuka peluang kepada pengangkutan lebih pintar dan mampan.

“Pameran ini turut menawarkan platform kepada pengeluar dan pembekal tempatan untuk berhubung dengan pemimpin industri global, memudahkan perkongsian maklumat dan kerjasama perniagaan.

"Interaksi sedemikian amat penting dalam matlamat Malaysia untuk menjadi pusat serantau bagi pembuatan dan inovasi automotif," katanya ketika berucap pada acara itu.

Mohd Samsor yang juga Presiden MAA berkata kepimpinan Malaysia dalam industri automotif Asia Tenggara semakin meraih momentum berikutan kemajuan yang ketara dalam teknologi, pembangunan infrastruktur dan sokongan dasar kerajaan.

Industri automotif adalah antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia berikutan sumbangan besarnya dengan rangkaian penting dalam pembuatan dan sektor perkhidmatan, katanya.

Beliau berkata industri ini menyumbang 4.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setiap tahun, dan pada masa ini dianggarkan lebih 700,000 individu bekerja dalam industri automotif.

“Selama bertahun-tahun, industri automotif telah berkembang pesat seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara dan peningkatan taraf hidup.

"Jumlah volum industri (TIV) bagi industri automotif telah melonjak dalam tempoh tiga dekad lepas, daripada 200,000 unit pada 1994 kepada paras tertinggi sepanjang masa iaitu 799,731 unit pada 2023," katanya.

Mohd Samsor berkata pada tahun ini Malaysia dijangka mencapai satu lagi rekod jualan melebihi 800,000 unit.

“Sebahagian besar daripada kejayaan dan pencapaian industri automotif tempatan kita tidak akan tercapai tanpa sokongan padu, bantuan dan galakan daripada kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan