WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NAJIB NAFI BERTANGGUNGJAWAB ATAS KERUGIAN US$1 BILION DALAM PELABURAN 1MDB

04/12/2024 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak telah menafikan bahawa beliau bertanggungjawab bagi kerugian pelaburan US$1 bilion dalam usaha sama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Limited (PSI).

Memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau berkata kesalahan itu terletak di bahu pengurusan 1MDB terutama bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

"Kerugian US$1 bilion itu tidak boleh dikaitkan dengan saya atau sebarang arahan yang didakwa diberikan kepada Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB bagi meluluskan resolusi untuk mengambil bahagian dalam usaha sama dengan PSI, atau sebarang kepentingan yang didakwa berniat jahat di pihak saya.

"Sebaliknya, tanggungjawab itu terletak di bahu pihak pengurusan terutama Datuk Shahrol,” kata Najib ketika membacakan pernyataan saksi beliau setebal 525 halaman.

Najib juga berkata Shahrol Azral tidak pernah diberikan kuasa atau diarah untuk menjalinkan usaha sama dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited yang secara langsung bertentangan dengan resolusi BOD pada 26 Sept 2009 dan seterusnya arahan yang didakwa daripada beliau sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat.

Beliau juga berkata ini adalah kali pertama fakta mengenai PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited dibangkitkan.

"Ia tidak pernah disebut dalam dokumen yang bentangkan kepada BOD atau disebut secara lisan pada pelbagai mesyuaratnya.

"Ini sepatutnya memberi amaran kepada Datuk Shahrol tetapi beliau lebih teruja untuk menandatangani perjanjian usaha sama itu dan lebih gembira untuk berpisah dengan wang sebanyak US$1 bilion.

"Mengenai alasan Datuk Shahrol bahawa beliau memudahkan pemindahan wang US$1 bilion itu kerana mendakwa beliau percaya bahawa arahan itu datangnya daripada saya, sesetengah pihak mungkin mengagumi keberanian beliau untuk membuat dakwaan seperti itu jika ia tidak begitu jelas bahawa perkara tersebut tidak masuk akal malah bercanggah dengan bukti yang didokumentasikan. Bagaimanapun, jika perkara itu membabitkan saya maka ia nampaknya sengaja diabaikan," katanya.

Najib juga berkata penjelasan Shahrol Azral mengenai pemindahan wang US$1 bilion itu meskipun bertentangan dengan arahan BOD dan tidak masuk akal, telah dianggap boleh dipercayai bukan kerana meritnya tetapi kerana ia mempunyai agenda yang bermotifkan politik terhadap beliau.

"Meminta Shahrol bertanggungjawab sudah pasti akan mendedahkan kerapuhan naratif belliau dan merosakkan kredibilitinya. Sebaliknya, beliau dibenarkan bersembunyi di belakang alasan sedemikian dan pada dasarnya bebas daripada bertanggungjawab atas kerugian US$1 bilion itu supaya beliau boleh dianggap saksi yang boleh dipercayai, mungkin juga pada tahap saksi boleh dicontohi dalam kes salah guna kuasa terhadap ahli politik seperti saya. 

"Bukankah beliau bernasib baik kerana saya adalah tertuduh? Jika saya bukan bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, saya percaya beliau tidak akan berada di kandang saksi sebaliknya di kandang tertuduh," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memberi keterangan ketika membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bllion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pada 30 Okt lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan