WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PAC BIMBANG KELEWATAN PELAN ALTERNATIF BANTUTKAN TRANSFORMASI LTAT

05/12/2024 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membangkitkan kebimbangan mengenai beberapa isu berkaitan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Ahli Jawatankuasa itu Dr Halimah Ali berkata sudah lebih 10 bulan berlalu sejak Pelan Strategik LTAT 2023-2025 dihentikan, namun hingga kini tiada sebarang pelan alternatif diumumkan.

“Kelewatan ini mendedahkan LTAT secara berterusan kepada rosot nilai yang sudah berlarutan sejak lima tahun lepas.

“Pendedahan kepada risiko kebergantungan kepada syarikat Boustead Holdings Berhad tanpa program penyusunan semula yang komprehensif ini, membantutkan transformasi LTAT untuk menjadi tabung persaraan yang mampan dan mampu menjana dividen yang kompetitif secara konsisten,” katanya ketika sesi penerangan berkaitan Laporan PAC Berhubung LTAT, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Halimah berkata PAC mendapati terdapat beberapa urusniaga penjualan aset yang sedang dilaksanakan, tetapi tidak diumumkan secara terbuka oleh Boustead.

Beliau berkata terbaharu, Ecoworld mengumumkan urusniaga pembelian tanah milik anak syarikat Boustead bernilai RM742 juta yang bakal menjana nilai pembangunan sehingga RM4.6 bilion kepada Ecoworld, selain pelan penjualan tanah ladang milik Boustead Plantations Berhad di Batu Kawan, Pulau Pinang kepada syarikat Ideal Properties Berhad.

“Di bawah pelan penstrukturan Boustead yang dihentikan, kedua-dua tanah ladang ini telah dicadangkan untuk dikekalkan di dalam syarikat Boustead Properties Berhad, yang dimiliki sepenuhnya oleh LTAT bagi tujuan pembangunan.

“Adakah penjualan tanah dan aset ini pendekatan terbaharu penstrukturan semula Boustead bagi menjana aliran tunai dan mengurangkan keberhutangan Boustead,” katanya.

Ahli Parlimen Kapar itu berkata PAC berpandangan bahawa pendekatan itu bersifat jangka pendek, yang akan menjejaskan nilai aset LTAT dan tidak akan merungkai permasalahan LTAT untuk tempoh jangka panjang. 

Halimah berkata perkara itu bertentangan dengan kedudukan yang telah diambil menteri berhubung pelan strategik yang dihentikan, yang turut disifatkan sebagai solusi berjangka pendek.

“Yang lebih membimbangkan, strategi penjualan aset ini dilaksanakan secara senyap tanpa pengetahuan umum. Ini berbeza dengan strategi penstrukturan semula pegangan saham LTAT di bawah Pelan Strategik 2023-2025, yang diumumkan secara terbuka dan dibahaskan secara umum.  

“Justeru, PAC berharap apabila MINDEF (Kementerian Pertahanan) dan LTAT dalam prosiding tindakan susulan tahun depan, bersedia dengan maklum balas sewajarnya, berhubung isu-isu yang berbangkit di samping syor yang telah dikemukakan jawatankuasa ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan