WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LTAT PERJELAS ISU PELAN PENSTRUKTURAN SEMULA, PELUPUSAN ASET

06/12/2024 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjelaskan bahawa pelan penstrukturan semula yang dirujuk di Parlimen semalam tidak dibatalkan, sebaliknya diperhalus untuk menangani cabaran semasa dan peluang yang muncul selaras situasi pasaran terkini.

LTAT menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan pelan penstrukturan baharu itu mencerminkan kepekaan dan daya tindak LTAT serta Kementerian Pertahanan dalam menangani isu kestabilan kewangan, mengurus liabiliti, mempelbagaikan pelaburan di samping membina portfolio kompetitif serta mampan demi kepentingan semua pihak pemegang taruh.

“Inisiatif pelupusan aset adalah langkah strategik dan bukannya penyelesaian jangka pendek. Pendekatan ini bertujuan mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pelaburan dalam Boustead-Affin dan ia selaras cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menggesa LTAT mempelbagaikan portfolio.

“Tatakelola dan proses pelupusan aset yang telus di setiap entiti Kumpulan LTAT adalah untuk memastikan penjanaan nilai optimum dapat dihasilkan, dan dilaburkan semula ke dalam aset berdaya tinggi dan mampan untuk meningkatkan daya tahan kewangan LTAT serta menjamin kebajikan pencarum LTAT dalam jangka panjang. Transaksi akan dilaksanakan dengan ketelusan dan integriti yang tinggi,” menurut kenyataan itu. 

LTAT menegaskan bahawa semua transaksi yang dilakukan adalah sejajar dengan kepentingan strategik negara seperti yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.

Berhubung dengan tanah di Batu Kawan, LTAT menegaskan bahawa LTAT serta syarikat kumpulannya tidak memiliki sebarang tanah di kawasan berkenaan dan kenyataan mengenai pelupusan tanah ini adalah tidak benar serta mengelirukan.

Mengenai transaksi Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), menurut LTAT Boustead Properties (BProp) telah menjemput 19 syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma swasta untuk menyertai proses Notis Pelawaan Cadangan (RFP).

Daripada 10 syarikat yang menyatakan minat, hanya satu syarikat iaitu EcoWorld, syarikat milik majoriti Bumiputera telah mengemukakan cadangan setelah melalui proses tender yang ketat dan telus.

"EcoWorld, melalui syarikat usaha sama Mutiara Balau Sdn Bhd (MBSB) - iaitu BProp merupakan pemegang saham minoriti - telah dipilih selepas penilaian menyeluruh.

"Faktor utama dalam keputusan ini termasuk tawaran komersial kompetitif EcoWorld, cadangan pembangunan inovatif, kedudukan kewangan yang kukuh, dan rekod pencapaian yang terbukti di Malaysia serta pasaran antarabangsa," menurut kenyataan itu. 

Pelupusan tanah di Semenyih kepada MBSB pula bertujuan memacu pertumbuhan kawasan pinggir bandar yang sedang berkembang, meningkatkan nilai serta menyokong objektif Ekonomi MADANI.

Hasil tunai daripada transaksi ini akan memainkan peranan penting dalam membiayai program penanaman semula kelapa sawit oleh Boustead Plantation Bhd (BPlant), memastikan pemulihan tanah yang telah matang dan meningkatkan kecekapan operasi.

"Pendekatan strategik ini bukan sahaja akan mengukuhkan kelestarian jangka panjang syarikat tetapi juga sejajar dengan keutamaan negara melalui pengoptimuman penggunaan tanah untuk pertumbuhan ekonomi.

"Berganding bersama dengan GLC lain, sebarang transaksi korporat Kumpulan LTAT bertujuan menyokong pembangunan sektor strategik ekonomi utama, termasuk industri berimpak tinggi seperti semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui yang menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ekonomi Malaysia," menurut kenyataan itu.  

Pelan penstrukturan baharu ini bertujuan mengurangkan penumpuan aset LTAT dalam pelaburan Boustead-Affin kepada 35 peratus berbanding sasaran 50 peratus dalam pelan sebelumnya dan langkah ini akan memberi penyelesaian jangka panjang lebih mampan terhadap cabaran portfolio selaras cadangan PAC.

Semalam, ahli PAC Dr Halimah Ali yang membangkitkan kebimbangan mengenai beberapa isu berkaitan LTAT mendakwa sudah lebih 10 bulan berlalu sejak Pelan Strategik LTAT 2023-2025 dihentikan namun sehingga kini tiada sebarang pengumuman pelan alternatif. 

Bercakap ketika sesi penerangan berkaitan Laporan PAC berhubung LTAT pada persidangan Dewan Rakyat, Halimah berkata PAC mendapati terdapat beberapa urus niaga penjualan aset yang sedang dilaksanakan tetapi tidak diumumkan secara terbuka oleh Boustead.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan