WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LEBIH 1,000 MURID DI SARAWAK IKUTI PROGRAM STEM CATALYST

06/12/2024 05:10 PM

KUCHING, 6 Dis (Bernama) -- Lebih 1,000 murid mengambil bahagian dalam Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Catalyst (Sistem Hidrogen dan Digital) yang bertujuan mendidik, memberi inspirasi dan meningkatkan minat pelajar dalam bidang STEM.

Penganjur program Sarawak Skills dalam kenyataan memaklumkan program yang berlangsung dari 3 hingga 6 Dis itu melibatkan murid di tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merdang, Samarahan, SK Serian dan SK St Luke, Sri Aman.

Menurut Sarawak Skills, program anjuran bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak itu bertujuan mencetuskan rasa ingin tahu, inovasi dan kerjasama dalam kalangan minda muda, khususnya membabitkan bidang teknologi hidrogen dan sistem digital.

“Edisi pertama program ini memberi tumpuan kepada masa depan hidrogen melalui sistem digital. Ia meneroka penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta menggunakan Raspberry Pi sebagai asas untuk menunjukkan integrasi siber fizikal dalam penjanaan dan aplikasi hidrogen,” katanya.

Pada majlis penutupan program hari ini, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri berkata beliau kagum dengan penglibatan murid dalam program itu selain menekankan kuasa STEM untuk membentuk masa depan.

Beliau menyarankan murid-murid untuk terus menceburi bidang tenaga lestari, terutamanya apabila Sarawak kini memainkan peranan utama dalam sektor terbabit.

“Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia dan antara yang pertama di Asia Tenggara menghasilkan hidrogen sebagai sumber tenaga bersih dan lestari, menjadikan rantau ini sebagai peneraju global dalam ekonomi hidrogen," katanya.

Program berkenaan disokong oleh Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak, Pusat Sains Sarawak, Swinburne University of Technology Sarawak dan Universiti Teknologi Sarawak yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan kandungan STEM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan