WILAYAH - SARAWAK > BERITA

446 TAPAK STESEN PEMANCAR KOMUNIKASI DIPERKASAKAN SELURUH NEGARA

06/12/2024 07:25 PM

RAUB, 6 Dis (Bernama) -- Sebanyak 446 tapak stesen pemancar komunikasi telah diperkasakan (hardened) di seluruh negara oleh syarikat telekomunikasi di lokasi dikenal pasti berisiko tinggi dinaiki air, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 110 tapak yang diperkasakan dengan menaikkan platform tapak setinggi tiga meter adalah di Pahang.

“(Antara stesen pemancar komunikasi yang telah diperkasakan) adalah di Kampung Tanjung Putus, menara yang telah mula beroperasi pada 23 Ogos lepas ini, kerap dinaiki air semasa banjir dan langkah intervensi telah diambil dengan menaikkan platform setinggi tiga meter. 

“(Ini antara) usaha MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk pastikan komunikasi tidak terjejas dengan membuat pemerkasaan tapak (site hardening). Apabila kita sudah tahu kawasan hotspot banjir, kami akan minta penyedia perkhidmatan untuk naikkan peralatan mereka ataupun kita panggil hardening," katanya selepas melawat menara telekomunikasi di Kampung Tanjung Putus di sini hari ini. 

Terdahulu Teo mengadakan lawatan ke Kampung Pintu Padang untuk meninjau tahap kesalinghubungan dan perkhidmatan internet selain menyampaikan sumbangan berupa bantuan makanan asas daripada syarikat telekomunikasi CelcomDigi kepada 47 keluarga yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi juga akan terus meningkatkan usaha bagi memastikan tahap kesalinghubungan dan perkhidmatan internet di negeri yang dilanda bencana itu berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Teo berkata MCMC turut bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan untuk melakukan hebahan awal bencana menerusi sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Usaha hebahan awal bencana ini atau dipanggil SMS Blast telah bermula sejak Oktober sehinggalah sekarang dan setakat 6 Dis, jumlah SMS yang telah kita hantar adalah lebih tiga juta,” katanya. 

Beliau berkata perkhidmatan SMS itu akan diteruskan berikutan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah memberikan peringatan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir dan Teo turut menasihati penduduk untuk mematuhi arahan agensi berkenaan.

“Saya juga harap, sebagai pengguna internet, gunakan perkhidmatan itu secara baik, untuk manfaatkan orang lain dan jangan cipta berita palsu. Semasa banjir, semua orang cukup penat, jadi buat apa nak cipta berita palsu atau wujudkan isu tidak sepatutnya,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan