WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KONTRAKTOR LEWAT SIAPKAN MENARA JENDELA DIBERI TEMPOH HINGGA 31 DIS INI

12/12/2024 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kontraktor projek menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang lewat menyiapkan kerja, perlu menyelesaikan pembinaan menara itu sebelum 31 Dis ini bagi mengelak diambil tindakan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata antara tindakan yang boleh diambil berdasarkan Notis Pemberitahuan Penamaan (Notification of Approval) terhadap pembina menara yang gagal menyiapkan menara dalam tempoh yang ditetapkan ialah tuntutan liquidated damages, pelaksanaan pengambilan Performance Bond, penolakan tuntutan dan tindakan undang-undang lain di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Beliau berkata Notis Ketidakpatuhan telah dikeluarkan pada 28 Okt 2024 kepada semua Designated Universal Service Provider (DUSP) Bahagian 1 dan Bahagian 2 yang masih belum menyiapkan projek JENDELA yang dianugerahkan kepada mereka.

"Dalam notis ini, DUSP berkaitan diberikan tempoh 1-2 bulan hingga 31 Dis ini untuk menyiapkan kerja masing-masing.

"Sekiranya pihak DUSP berkaitan masih belum menyiapkan kerja masing-masing sehingga tempoh yang ditetapkan, tindakan tuntutan liquidated damages boleh dilaksanakan terhadap DUSP berkaitan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Teo berkata pelaksanaan projek JENDELA Fasa 1 masih lagi dalam pelaksanaan dan setakat 31 Okt lepas, sebanyak 1,385 struktur menara telah siap dibina daripada 1,661 yang dirancang dan daripada jumlah itu, hanya 808 menara telah beroperasi.

Dalam pada itu, Teo memaklumkan setakat 31 Okt, sebanyak 603 perkampungan Orang Asli menerima manfaat liputan rangkaian 4G daripada menara yang telah siap dan beroperasi.

"Tambahan daripada itu, dianggarkan sebanyak 82 kampung Orang Asli lagi akan diliputi dengan rangkaian 4G daripada menara yang sedang dalam pelaksanaan di bawah inisiatif JENDELA Fasa 1, dan dijangka siap secara berperingkat hingga akhir 2025," katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya, sebanyak 685 atau 81 peratus daripada 843 kampung Orang Asli yang direkodkan telah atau akan mempunyai liputan 4G.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dalam penggulungan kementeriannya pula menyeru semua pihak agar menyokong pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah sambutan Tahun Baru Cina oleh kerajaan China, tahun depan.

Beliau berkata program bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia–China itu akan memberi peluang kepada negara untuk menarik perhatian global terutama 1.4 bilion rakyat di republik berkenaan.

"Inisiatif ini juga berpotensi meningkatkan ketibaan dan pendapatan pelancongan negara termasuklah di Kedah dan Langkawi selain memperkukuh hubungan diplomatik dan memberi manfaat ekonomi.

"Berdasarkan perimeter United Nation Tourism, pelancong China merupakan pembelanja terbesar dalam pelancongan dan oleh itu, saya menyeru Ahli-Ahli Berhormat (Senator) dan semua untuk sama-sama mempromosikan negara kita," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan