WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TABUNG KASIH@HAWANA BANTU 210 PENGAMAL MEDIA

07/12/2024 01:03 AM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA telah membantu 210 pengamal media dan wartawan veteran sejak diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata inisiatif Tabung Kasih@HAWANA bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media yang diuji dengan masalah kesihatan, kesempitan hidup, bencana atau memerlukan bantuan.

Beliau berkata Bernama selaku agensi yang bertanggungjawab menguruskan tabung tersebut kini dalam proses membantu rakan media yang terkesan akibat banjir tahun ini. 

“Kami dalam proses membantu mereka yang terkesan dengan bencana banjir dan bantuan akan disalurkan secepat mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan dan Amal Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di sini, malam ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merasmikan majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus.

Dalam pada itu, Nur-ul Afida berharap agar pengamal media memegang erat Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada 20 Feb lepas.  

“Kod Etika itu bertujuan untuk memastikan rakan-rakan media menjadi suara masyarakat majmuk yang sentiasa telus dan berintegriti, justeru, marilah kita terus berpegang pada kod etika ini dalam melaksanakan tugas sebagai wartawan. 

“Selain itu, ia (Kod Etika Wartawan Malaysia) untuk mengelakkan kita daripada pengaruh peribadi dalam pelaporan berita dan penyampaian maklumat,” katanya. 

Beliau turut menggesa pengamal media meningkatkan pengetahuan mengenai pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589).

“Rang Undang-Undang berkaitan pindaan Akta 588 dan Akta 589 telah dibentangkan (di Dewan Rakyat). Marilah kita ambil maklum dan cakna pindaan yang diadakan supaya kita tidak terjebak dengan masalah berkaitan undang-undang,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan