WILAYAH - SARAWAK > BERITA

YAPEIM SUMBANG RM50,000 KEPADA 50 PENGAMAL MEDIA, AHLI KARYAWAN

07/12/2024 12:54 AM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada 50 pengamal media serta ahli Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihak YAPEIM, menyalurkan wang tunai RM1,000 untuk setiap seorang.

Beliau berkata pengamal media yang menerima sumbangan itu merupakan ahli daripada empat persatuan dan kelab iaitu Kelab Media KL dan Selangor (KLS), Kelab Media Putrajaya (KMP), Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

“Kerjasama yang diberikan kelima-lima persatuan ini membolehkan YAPEIM merealisasikan hasrat untuk membantu pengamal media baik wartawan, jurugambar, jurukamera mahupun bekas pengamal media dan penggiat seni yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penghargaan dan Amal YAPEIM di sini, hari ini.

Mohd Naim berkata objektif usaha murni YAPEIM adalah untuk membantu meringankan beban ketua keluarga dan sumbangan yang disalurkan itu mengambil kira pelbagai aspek termasuk golongan sasar yang layak dibantu.

“Rata-rata penerima yang menerima bantuan ini terdiri dalam kalangan keluarga miskin, kumpulan B40 dan mereka yang mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan