WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPA SELESAI 36 PROJEK BERNILAI RM2.47 JUTA UNTUK MANFAAT PENDUDUK KAMPUNG PULAU AMAN

09/12/2024 12:22 PM

BATU KAWAN, 9 Dis (Bernama) -- Sebanyak RM2.47 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 12 projek fizikal dan 24 projek bukan fizikal di Kampung Pulau Aman di sini menerusi program Kampung Angkat MADANI JPA dalam usaha mentransformasikan kampung itu menjadi komuniti yang lebih dinamik, mampan dan sejahtera.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata usaha itu dilaksanakan sejak April lepas dan antara projek terlibat termasuk baik pulih kemudahan awam seperti tandas, pembaikan gelanggang permainan, naik taraf jeti, peningkatan pusat pengumpulan sampah, pembaikan longkang dan pemasangan lampu.

"JPA telah memilih Kampung Pulau Aman kerana pandangan kami kampung ini masih banyak ketinggalan dari segi infrastrukturnya dan Alhamdulillah dengan beberapa projek yang telah kita rancangkan, hari ini telah sempurna dan dilakukan penyerahan kepada penduduk.

"Kami juga percaya dengan terbinanya semua fasiliti tersebut ia dapat membantu penduduk untuk menjana pendapatan serta membantu dari segi ekonomi, seterusnya dapat memperbaik sedikit sebanyak kehidupan mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kampung Angkat MADANI JPA: Kampung Pulau Aman pada Ahad. 

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Ismail Parlan serta barisan tertinggi JPA.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyiapkan projek-projek fizikal dan bukan fizikal dalam tempoh luar biasa singkat iaitu tujuh bulan.

Wan Ahmad Dahlan juga yakin dengan segala fasiliti dan infrastruktur yang dipertingkatkan, Pulau Aman bakal menjadi hub pelancongan yang popular, destinasi makanan tempatan, pusat perikanan dan tempat yang menyajikan perkhidmatan serta produk tempatan yang menarik kepada pengunjung.

Pada majlis berkenaan beliau turut merasmikan pembukaan Denai Alam (Nature Trail) sepanjang 3.5 kilometer yang disiapkan sepenuhnya 23 Nov lepas dengan kerjasama FRIM dan JPA.

Sebagai pengenalan kepada denai itu, pertandingan Jejak Alam Pulau Aman telah diadakan dan peserta yang mengambil bahagian diberikan cabaran meneroka denai sambil menyelesaikan tugasan menarik sepanjang perjalanan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Kecil JPA Puan Sri Dr Azlifah Bahari berkata dalam usaha membantu ekonomi golongan wanita di kampung itu, pihaknya merancang bekerjasama membantu mereka termasuk memperluas kegiatan mencanting batik.

"Ia supaya mereka dapat mempelajarinya seterusnya dijadikan sumber pendapatan...seperti pengusaha sukun di sini yang memang terkenal dengan kerepek sukun, cara terbaik ialah kita bantu perluas dengan membawa ia ke luar sana.

"Selain itu, Puspanita JPA turut membantu Kelab Wanita Aktif dan Cergas Pulau Aman dengan menyumbang RM1,500 supaya dapat bantu apa juga usaha serta kerja mereka yang dilaksanakan di sini," katanya.

Beliau berkata Puspanita JPA menyokong dan akan membantu mempromosikan produk serta perkhidmatan di bawah jenama Kampung Pulau Aman antaranya krim dan air gamat, kerepek sukun, kuih kapit dan belacan.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman Zulkplee Yusof mewakili penduduk kampung berterima kasih kepada JPA kerana memilih kawasan itu sebagai Kampung Angkat MADANI yang telah menyediakan banyak kemudahan.

Beliau berkata secara tidak langsung ia dapat meningkatkan sumber pendapatan penduduk dan dengan adanya fasiliti dan infrastruktur yang lebih baik, Pulau Aman kini menjadi antara tarikan pelancongan.

Pulau Aman merupakan perkampungan tradisional nelayan Melayu yang masih mengekalkan keasliannya dan ia merupakan kampung 'bebas kereta' iaitu penduduk hanya berjalan kaki, berbasikal atau menaiki motosikal dengan menggunakan jalan konkrit yang menghubungkan hampir keseluruhan pulau.

Kampung seluas 116.5 hektar dan terletak kira-kira lapan kilometer (km) dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah itu didiami 250 penduduk daripada 47 keluarga dan turut dihubungkan menerusi jalan laut dengan menaik bot tambang kira-kira 10 minit perjalanan dari Jeti Batu Musang di Batu Kawan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan