WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMERIKSAAN IMIGRESEN DI TERMINAL FERI LABUAN MUNGKIN DIKAJI SEMULA SUSULAN KEBIMBANGAN EKONOMI

12/12/2024 10:33 PM


From Jailani Hasan

LABUAN, 12 Dis (Bernama) -- Pemeriksaan imigresen yang dilaksanakan di dua terminal feri di Labuan sejak dua tahun lepas mungkin akan dikaji semula berikutan kebimbangan mengenai kesannya terhadap ekonomi pulau bebas cukai itu, khususnya sektor pelancongan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata isu yang dibangkitkan oleh komuniti dan peniaga tempatan itu dikenal pasti sebagai halangan utama kepada pelancongan dan pemulihan ekonomi Labuan.

“Saya menerima banyak aduan mengenai pemeriksaan imigresen ini dan saya telah sampaikannya kepada Menteri Dalam Negeri.

“Kami sedang berusaha untuk mengadakan perbincangan bersama Ketua Menteri Sabah bagi menilai semula keperluan pemeriksaan di terminal feri Labuan ini,” katanya semasa temu bual eksklusif dengan Bernama sempena ulang tahun pertama beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.

Dr. Zaliha turut mendedahkan bahawa perbincangan bersama Jabatan Imigresen Malaysia telah diadakan untuk menilai perkara itu.

“Labuan sudah menjadi Wilayah Persekutuan, dan pemeriksaan berterusan imigresen sedang dipersoalkan...bagaimanapun tiada keputusan dibuat setakat ini," katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada Sept 2022 mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia melaksanakan kawalan yang lebih ketat di terminal bagi pelancong yang datang ke Sabah dan pemeriksaan itu dikuatkuasakan pada 1 Nov 2022.

Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan langkah itu diambil atas permintaan Sabah, yang bimbang mengenai kemasukan tanpa pemeriksaan ke negeri berkenaan melalui jeti Tanjung Pagar Sipitang, Menumbok, dan Jesselton.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan