HOUSTON (Texas, Amerika Syarikat), 13 Jan (Bernama-AA) -- Angka korban akibat kebakaran hutan yang dahsyat di California, Amerika Syarikat (AS), meningkat kepada 24 orang pada Ahad, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pejabat Koroner Daerah Los Angeles memaklumkan mereka sedang menyiasat sekurang-kurangnya 24 kematian melibatkan dua kebakaran besar yang melanda kawasan California Selatan sejak Selasa lepas.
Menurut pihak berkuasa, 16 kematian dikaitkan dengan kebakaran Eaton dan lapan lagi dalam kebakaran Palisades.
Jumlah itu dijangka terus meningkat kerana pemeriksa perubatan belum dapat mengesahkan cebisan mayat manusia sehingga proses analisis selesai dijalankan.
Lebih 150,000 penduduk dipindahkan, sementara 87,000 lagi berada dalam zon amaran pemindahan. Setakat ini, lebih 12,000 kediaman dan premis perniagaan musnah dalam kebakaran yang memusnahkan kawasan seluas lebih 60 batu persegi (155 kilometer persegi).
"Penilaian awal dari udara menganggarkan 5,316 struktur rosak akibat kebakaran Palisades dan lebih 7,000 struktur musnah akibat kebakaran Eaton," menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (CAL FIRE) dalam satu kenyataan.
"Angka awal ini menjadikan kebakaran Eaton dan Palisades sebagai kebakaran kedua dan keempat paling dahsyat dalam sejarah California," tambahnya.
Anggota bomba terus berusaha memadamkan kebakaran yang terus marak akibat angin kencang sehingga 30 hingga 70 batu (48 hingga 112 kilometer) sejam. Disebabkan keadaan berbahaya itu, amaran kebakaran kekal berkuat kuasa hingga Rabu, manakala perintah pemindahan dilanjutkan sekurang-kurangnya hingga Khamis. Perintah berkurung dari senja hingga subuh juga masih berkuat kuasa bagi membanteras aktiviti pecah rumah di kawasan terjejas.
"Kita belum keluar daripada situasi bahaya. Keadaan cuaca yang berisiko masih menanti kita," menurut Nancy Ward, Pengarah Pejabat Perkhidmatan Kecemasan California, dalam satu sidang media.
"Kita perlu menyediakan sokongan yang diperlukan oleh rakyat dan petugas barisan hadapan di California Selatan," tambahnya.
"Kami menempatkan jentera (bomba) tambahan, kru pemadam kebakaran, helikopter, jentolak dan tangki air di seluruh kawasan California Selatan, termasuk di Los Angeles, Orange County, Ventura County, Riverside County, San Bernardino County dan San Diego County, untuk membantu menangani ancaman kebakaran yang semakin besar."
Kekuatan pasukan yang dikerahkan untuk memadamkan kebakaran ini amat besar iaitu 14,000 petugas kecemasan, 1,300 jentera pemadam kebakaran dan 84 pesawat dari sembilan negeri, termasuk California, selain pasukan dari Kanada dan Mexico.
Gabenor California Gavin Newsom memaklumkan beliau akan mengerahkan 1,000 lagi anggota Pengawal Nasional California untuk membantu usaha memadamkan kebakaran hutan tersebut.
Presiden AS Joe Biden pula meluluskan perisytiharan bencana besar bagi negeri itu untuk menyediakan bantuan kewangan bagi kerja-kerja pembersihan dan pembinaan semula dengan anggaran awal kerugian akibat kebakaran hutan itu mencecah sekurang-kurangnya US$10 bilion.
Organisasi kemanusiaan dan badan bukan berasaskan keuntungan seperti Palang Merah Amerika dan Bank Makanan Kawasan Los Angeles memulakan usaha bantuan kepada penduduk yang terjejas, termasuk menyediakan makanan, air, tempat perlindungan dan keperluan harian kepada mangsa kebakaran yang memerlukan.
-- BERNAMA-AA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial