WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBANTU KEDAI MAKAN MENGAKU TIDAK BERSALAH LANGGAR MATI TIGA WARGA PAKISTAN

16/01/2025 01:48 PM

TELUK INTAN, 16 Jan (Bernama) -- Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyebabkan kematian tiga lelaki warga Pakistan yang dalam perjalanan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, tahun lepas.

Mohd Azizol Bashed, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Lelaki itu didakwa memandu kenderaan jenis Proton Iswara di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut dengan sepatutnya, sehingga menyebabkan kematian Khan Adil, Muhammad Zahir dan Shayan Muhammad,

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada kira-kira 8.10 pagi di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan hala Bidor dalam daerah Hilir Perak, pada 10 April 2024 dan pertuduhan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333) yang membawa hukuman penjara tujuh tahun hingga 10 tahun dan denda RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Mohd Azizol juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berasingan menyebabkan kecederaan tiga lagi lelaki warga Pakistan Khan Yaseen, Khan Saleem dan Kamran Ali.

Perbuatan itu didakwa dilakukan lelaki itu pada tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman penjara tujuh tahun hingga 10 tahun dan denda RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon semua jenis lesen milik tertuduh digantung sehingga kes selesai, kerana ia melibatkan kepentingan awam dan kes ini telah menyebabkan kematian.

Sementara itu peguam Aliff Aiman Rusli memohon jaminan yang minimum kerana tertuduh bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM50 sehari serta menanggung ibunya yang berusia 72 tahun.

Majistret Naidatul Athirah Azman kemudiannya menetapkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta menggantung lesen tertuduh bermula dari tarikh pertuduhan sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 Feb.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan