KUANTAN, 16 Jan (Bernama) -- Sebanyak 121 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan yang dijalankan selama dua hari di Cameron Highlands bermula semalam.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Supt Azri Ramli berkata operasi melibatkan 143 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan itu diadakan bagi membanteras kebanjiran warga asing di daerah berkenaan, susulan peningkatan kes jenayah di pelancongan tanah tinggi itu.
“Dalam operasi ini, pemeriksaan dijalankan di tempat penginapan warga asing, premis perniagaan, tapak pembinaan dan sekatan jalan raya melibatkan pemandu warga asing.
“Sebanyak 56 buah premis diserbu melibatkan pemeriksaan 686 warga tempatan dan 2,090 warga asing. Daripada jumlah itu, 121 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Selain itu, Azri berkata pihaknya juga berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan di bawah Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976 Kastam dan seorang lagi lelaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 semasa pemeriksaan sekatan jalan raya dilakukan.
“Sebanyak 156 saman juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu 31 daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala bakinya daripada Jabatan Pengangkutan Jalan. Kesemua tangkapan ini akan didakwa mengikut kesalahan masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial