KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Tiada wakil Malaysia melepasi peringkat kumpulan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) selepas Kuala Lumpur City FC (KL City) tewas 1-0 kepada gergasi Liga Thailand, Buriram United dalam aksi terakhir Kumpulan B di Chang Arena, Buriram, malam ini.
Turun dalam aksi wajib menang, ketua jurulatih KL City, Miroslav Kuljanac memilih corak permainan bertahan berbanding tuan rumah yang mempamerkan corak menyerang.
Bagaimanapun, taktikal bertahan KL City hanya mampu bertahan sehingga ke minit ke-37 apabila dibolosi pemain import dari Brazil, Lucas Crispim yang bijak menyempurnakan hantaran Theerathon Bunmathan untuk tuan rumah mendahului 1-0 pada babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, skuad warga kota mengubah taktikal kepada menyerang bagi mencari gol penyamaan.
KL City hampir menyamakan kedudukan apabila berjaya membolosi gawang Buriram pada minit ke-48, namun hantaran cantik Declan Lambert gagal disempurnakan Patrick Reichelt.
Gawang KL City sekali lagi hampir dibolosi pada minit ke-71, namun ketangkasan penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim, berjaya memastikan tuan rumah gagal memperoleh gol tambahan, sekali gus menyaksikan tuan rumah berpuas hati dengan kemenangan 1-0.
Kemenangan itu menyaksikan Buriram United mara ke pusingan separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan mengutip 10 mata.
Sementara itu, baki aksi Kumpulan B menyaksikan pendahulu kelab Vietnam, Cong An Ha Noi FC menumpaskan wakil Indonesia, Borneo FC, 3-2, sementara kelab Filipina, Kaya FC-Iloilo, menewaskan wakil Singapura, Lion City Sailors, 2-0.
Buriram United dijadualkan bertemu pasukan senegara, BG Pathum United, pada aksi separuh akhir, sementara Cong An Ha Noi FC bertemu wakil Indonesia, PSM Makassar, bagi mencari slot ke perlawanan akhir.
Semalam, nasib satu lagi wakil negara, Terengganu FC (TFC) turut berakhir di peringkat Kumpulan A selepas tewas 3-4 kepada BG Pathum United, sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial