WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM IMUNISASI INFLUENZA WARGA EMAS BERMULA 18 FEB

09/02/2025 05:57 PM

KULIM, 9 Feb (Bernama) -- Program Imunisasi Influenza Kebangsaan bagi warga emas akan dilaksanakan bermula 18 Feb ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata janji temu bagi mendapatkan suntikan itu boleh dibuat menerusi aplikasi MySejahtera mulai 14 Feb ini.

"Untuk program suntikan imunisasi influenza bagi warga emas, Ketua Pengarah Kesihatan telah pun mengeluarkan kenyataan berhubung program ini yang mana ia akan bermula pada 18 Feb ini.

"Suntikan ini terbuka kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas di lokasi klinik yang terpilih," katanya pada sidang media selepas merasmikan Wellness Hub Kulim dan Penyerahan Kunci Pusat Rekod Perubatan Zon Utara dekat sini, hari ini.

Beliau berkata program imunisasi berkenaan dianggarkan melibatkan seramai 170,000 penerima di seluruh negara.

"Kita menggalakkan agar suntikan ini diambil bagi kesejahteraan masyarakat khususnya warga emas.

"Saya juga ingin menggalakkan mana-mana sektor swasta atau kerajaan negeri yang ingin berkolaborasi bagi melaksanakan program suntikan influenza ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata KKM sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan dan satu daripada langkah yang sedang dilaksanakan adalah menaik taraf klinik daif di seluruh negara.

"Terdapat sebanyak 455 projek naik taraf yang sedang berjalan di seluruh negara termasuklah 41 projek di Kedah.

"Ini merupakan salah satu transformasi kesihatan yang sedang kita jalankan. Diharap ia dapat memberikan penambahbaikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Lukanisman katanya Wellness Hub berperanan sebagai fasiliti yang mempromosikan gaya hidup sihat dan bukan seperti klinik kesihatan.

"Sasaran kita agar pada masa hadapan, ia menjadi keutamaan untuk dibangunkan bersama hospital dan klinik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13," katanya dan menambah terdapat 33 Wellness Hub beroperasi di seluruh negara termasuk tiga di Kedah setakat ini.

Beliau berkata sembilan lagi projek Wellness Hub bakal dilaksanakan tahun ini termasuk tiga projek naik taraf iaitu di Putatan, Sabah; Hulu Langat, Selangor dan Timur Laut, Pulau Pinang serta enam projek baharu iaitu di Sandakan, Sabah; Muallim, Perak; Sibuti, Sarawak; Kuala Selangor, Selangor; Alai, Melaka dan Muar, Johor.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan