WILAYAH - SARAWAK > BERITA

VAKSIN INFLUENZA PERCUMA UNTUK WARGA EMAS SAKIT KRONIK MULAI 18 FEB - KKM

10/02/2025 08:04 PM

PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Warga emas, iaitu mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik tersenarai, boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma bermula 18 Feb ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa program vaksinasi sukarela tersebut terbuka kepada mereka yang menghidap diabetes, penyakit respiratori, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia, dan penyakit buah pinggang kronik.

Menurut KKM, mereka yang ingin mendapatkan vaksinasi boleh membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera mulai Jumaat ini (14 Feb).

“Namun, ini tertakluk kepada status agihan vaksin ke seluruh negara yang dibuat secara berfasa,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah KKM, perluasan program imunisasi ini bertujuan melindungi lebih ramai populasi berisiko tinggi daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian, dan dijangka memanfaatkan lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi.

“Ini adalah pengembangan skop Program Imunisasi Influenza sedia ada yang bermula pada 2006, yang sebelum ini menyasarkan petugas KKM di barisan hadapan.

“Ia juga selari dengan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas (PTPKWE) 2023-2030 yang dilancarkan pada 1 Okt 2024,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KKM memberi jaminan bahawa kekurangan stok vaksin influenza di pasaran tempatan akibat peningkatan permintaan adalah bersifat sementara dan langkah memulihkan bekalan sedang dilaksanakan.

“Bekalan vaksin untuk jangka sederhana juga mencukupi bagi tujuan pelaksanaan pelan imunisasi sedia ada, termasuk untuk jemaah haji,” menurut kenyataan tersebut.

KKM juga menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan suntikan influenza sekali setahun.

Menurut KKM, waktu terbaik untuk mengambil vaksin tersebut di Malaysia adalah pada Mac atau September, selari dengan kesiapsiagaan menghadapi gelombang musim sejuk di hemisfera selatan pada Mei hingga Julai dan gelombang musim sejuk di hemisfera utara pada November hingga Januari.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya mengamalkan langkah mencegah penularan wabak influenza serta segera hadir ke fasiliti kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk, dan selesema yang berpanjangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan