WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERNIAGAAN KATERING BRAHIM'S KIAN PULIH SEIRING PRESTASI SYARIKAT PENERBANGAN

18/02/2025 10:47 PM

BANGI, 18 Feb (Bernama) -- Segmen perniagaan katering penerbangan Brahim's Holdings Bhd (Brahim’s) kini beransur-ansur pulih seiring prestasi syarikat penerbangan antarabangsa yang kembali beroperasi dalam pasca pandemik, termasuk beberapa syarikat baharu yang berminat mendapatkan perkhidmatannya.

Pengerusi Eksekutif Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata walaupun tidak semua pelanggan sebelum ini menyambung semula kontrak, lebih separuh telah kembali mendapatkan khidmat yang mendorong syarikat menjangkakan pemulihan lebih baik menjelang pertengahan 2025.

“Sebelum pandemik, kami menyediakan perkhidmatan kepada 38 syarikat penerbangan antarabangsa, termasuk Emirates, Qatar Airways, British Airways dan Japan Airlines.

“Apabila pandemik berlaku, operasi syarikat penerbangan terjejas dan turut memberi kesan kepada kami. Bagaimanapun, kami kini menyaksikan pemulihan yang positif,” katanya kepada media selepas majlis pratonton sajian bufet Nostalgia Ramadan di Randau Rasa oleh Dapur Brahim’s di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ibrahim berkata kumpulan itu kini dalam proses menarik pelanggan iaitu syarikat penerbangan baharu yang menghargai kepakaran Brahim’s dalam perkhidmatan katering penerbangan.

Brahim’s merupakan penyedia katering utama Malaysia Airlines sejak mengambil alih 70 peratus kepentingan dalam cabang katering pada 2003 dengan baki 30 peratus dipegang oleh syarikat penerbangan nasional itu.

Bagaimanapun, Malaysia Airlines memutuskan untuk menguruskan segmen katering sendiri yang mendorong Brahim's menumpukan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan antarabangsa.

Untuk rekod, Malaysia Airlines secara rasmi telah menamatkan kerjasama katering penerbangan dengan Brahim's Food Services Sdn Bhd (BFS) pada 31 Ogos, 2023, sekali gus mengakhiri kerjasama jangka panjang berkenaan.

Keputusan itu diambil selepas tempoh rundingan berpanjangan menemui jalan buntu yang menyaksikan Malaysia Aviation Group (MAG) selaku syarikat induk Malaysia Airlines dan BFS gagal mencapai persetujuan bagi memperbaharui kontrak.

Berikutan itu, Malaysia Airlines beralih mengendalikan operasi katering sendiri bermula pada 1 Sept, 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan