WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JDT CALAR EGO POHANG STEELERS, LAYAK BERGAYA KE PUSINGAN 16 ACL ELITE

18/02/2025 11:21 PM

ISKANDAR PUTERI, 18 Feb (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan tempat ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Elite (ACL Elite) 2024/25, selepas mencipta kemenangan besar 5-2 menundukkan wakil Korea Selatan Pohang Steelers FC di sini, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan JDT menamatkan saingan kumpulan Zon Timur pada kedudukan keempat dengan mengumpul 14 mata, selepas merakam empat kemenangan, dua seri dan tewas dua kali.

Pada pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim malam ini, JDT yang memburu kemenangan besar terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan pasukan pelawat, menerusi tandukan Lee Ho-jae pada minit ke-26.

Skuad Harimau Selatan yang menerima sokongan padu penyokong sendiri kemudian bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-37, apabila Oscar Arribas tenang merembat bola muntah di depan gawang selepas penjaga gol Yoon Pyung-Guk gagal menolak keluar bola tandukan Bergson Da Silva.

Memasuki separuh masa kedua, asakan bertali arus JDT membuahkan hasil, apabila Da Silva menampilkan kawalan bola yang baik untuk melepasi Yoon, sebelum melepaskan rembatan leret dari sudut yang sukar untuk gol kedua pasukan pada minit ke-52.

Empat minit berselang, giliran pemain sayap kebangsaan Arif Aiman Mohd Hanapi mencetak nama sebagai penjaring, selepas memanfaatkan kesilapan Yoon yang menendang bola tepat ke arahnya sebelum beliau menggelecek penjaga gol itu dan melepaskan rembatan di gawang yang terbuka luas.

Pohang Steelers yang ketinggalan dua gol tidak berputus asa, apabila berjaya merapatkan jurang menerusi penyudah Kang Hyeon-je pada minit ke-80.

Namun, JDT terlalu unggul apabila menambah lagi dua gol pada masa tambahan masing-masing dijaringkan Jese Rodriguez pada minit ke-90+7, diikuti penalti yang disempurnakan Jorge Leonardo Obregon pada minit ke-90+15, sekali gus menoktahkan kemenangan berharga.

Di pusingan kalah mati yang dijadual bermula Mac depan, skuad Harimau Selatan bimbingan Hector Bidoglio itu akan membuat perhitungan menentang satu lagi kelab dari Korea Selatan, Gwangju FC manakala Pohang Steelers tersingkir daripada saingan selepas menamatkan saingan di tangga kesembilan.

Dalam pada itu, tiga kelab Jepun masing-masing menamatkan saingan kumpulan Zon Timur pada kedudukan teratas iaitu Kawasaki Frontale yang mengutip 18 mata, diikuti Yokohama F. Marinos di tempat kedua yang berkongsi 16 mata dengan Vissel Kobe di tangga ketiga.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan