WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLITEKNIK PORT DICKSON DAN TUDM KERJASAMA PERKUKUH TVET DALAM PENYELIDIKAN DAN INOVASI

25/02/2025 04:54 PM

PORT DICKSON, 25 Feb ( Bernama) -- Politeknik Port Dickson (PPD) dan Institut Kepimpinan dan Pengurusan Tentera Udara Malaysia (INSKEP TUDM) Sendayan bekerjasama memperkukuhkan hubungan antara institusi akademik dan pertahanan negara bagi pembangunan modal insan berkualiti.

Pengarah Politeknik Port Dickson Hasan Mohd Sharif berkata kerjasama itu signifikan dalam memperkasakan penyelidikan dan inovasi di peringkat nasional serta antarabangsa sekali gus memacu ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Beliau berkata satu perjanjian nota kerjasama (NoC) antara PPD dan INSKEP TUDM dimeterai antaranya bertujuan menghasilkan inovasi yang boleh diaplikasikan dalam industri serta komuniti bagi meningkatkan keberkesanan proses kerja.

“Selain itu, ia juga bertujuan menggalakkan perkongsian ilmu dan kepakaran antara PPD dan INSKEP serta memberi peluang pensyarah dan pelajar menerapkan kemahiran teknikal serta inovasi dalam persekitaran sebenar.

“PPD mempunyai lebih 35 peratus tenaga pengajar yang merupakan bekas pemain industri dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, seni bina, perbankan, perakaunan, hospitaliti, grafik, perfileman, dan banyak lagi yang selari dengan hala tuju TVET,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasan berkata PPD juga memiliki pusat kecemerlangan iaitu Pusat Seni Bina dan Teknologi (CArT) dan Pusat bagi Elektrikal, Tenaga, Teknologi dan Perkhidmatan (CENTS) yang berperanan dalam pembangunan komuniti serta khidmat kepakaran kepada industri.

Sementara itu, Pegawai Memerintah INSKEP di Pangkalan Udara TUDM, Sendayan, Leftenan Kolonel Syaffiza  Abdul Razak berkata menerusi kerjasama itu pihaknya akan membangunkan produk inovasi MatSenz (Mat Sensor) iaitu sistem pengesanan dan amaran kanak-kanak terperangkap di dalam kenderaan.

"Produk ini berpotensi menyelamatkan nyawa dan langkah penting dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat, ia dibangunkan secara bersama oleh PPD dan INSKEP," katanya.

Syaffiza berkata kerjasama ini diharapkan dapat diperluaskan menerusi pertukaran kepakaran, selain pelaksanaan program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran yang memberi manfaat kepada pegawai serta anggota TUDM. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan