WILAYAH - UTARA > BERITA

KUTIPAN ZAKAT MAINPP NAIK 8.25 PERATUS KEPADA RM172.85 JUTA PADA 2024

25/02/2025 07:50 PM

BUKIT MERTAJAM, 25 Feb (Bernama) -- Jumlah kutipan zakat di Pulau Pinang tahun lepas meningkat 8.25 peratus kepada RM172.85 juta, berbanding RM159.7 juta pada 2023.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata daripada jumlah itu, RM165.52 juta merupakan zakat harta manakala RM7.33 juta zakat fitrah.

Beliau berkata penstrukturan semula Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada Zakat MAINPP bermula 1 Mac 2024 antara faktor menyumbang kepada lonjakan kutipan meskipun bilangan individu atau syarikat yang membayar zakat harta menunjukkan penurunan kepada 70,782, berbanding 72,786 pembayar pada 2023.

“Penurunan jumlah pembayar dipengaruhi beberapa faktor signifikan termasuk perubahan kadar nisab kepada RM24,200, tempoh haul pembayaran zakat, perpindahan tempat bertugas pembayar zakat ke negeri lain, tamat tempoh perkhidmatan (bersara) pada tahun semasa serta pemberhentian pekerja.

“Bilangan pembayar zakat fitrah pada 2024 pula meningkat kepada 836,831 orang berbanding 829,304 pada 2023,” katanya pada sidang media laporan prestasi kutipan dan agihan zakat di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata Zakat MAINPP telah mengagihkan RM162.29 juta wang zakat tahun lepas, meningkat 10.09 peratus berbanding RM147.4 juta pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata bilangan penerima zakat individu dan institusi bagi tahun lepas meningkat kepada 44,485 berbanding 43,354 penerima pada 2023.

“Prestasi kutipan dan agihan zakat bagi 2024 membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan Zakat MAINPP dalam menguruskan dana zakat secara berkesan dan bertanggungjawab. 

“Peningkatan ini bukan sahaja memperluas bantuan kepada golongan asnaf, tetapi juga memperkukuh peranan zakat sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi Islam di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan