WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INTAN TAWAR LATIHAN E-PEMBELAJARAN SEKTOR AWAM MALAYSIA MADANI PERKHIDMATAN AWAM

25/02/2025 06:38 PM

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) kini menawarkan latihan kendiri bersijil secara dalam talian, Malaysia MADANI Perkhidmatan Awam (MMPA), menerusi e-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) kepada semua pegawai awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi surat edaran bertarikh 13 Feb memaklumkan penggunaan platform EPSA bukan sahaja dipacu oleh pendigitalan dalam pelaksanaan latihan sektor awam, tetapi juga untuk mempelbagaikan kaedah penawaran latihan kepada pegawai awam.

“Menerusi EPSA, pegawai awam memperoleh akses kepada pengetahuan secara dalam talian, tanpa terikat dengan tuntutan masa dan lokasi tertentu.

“Program latihan EPSA MMPA boleh dicapai melalui pautan https://www.epsa.gov.my/,” menurut surat edaran itu.

Wan Ahmad Dahlan memaklumkan pelaporan pelaksanaan latihan itu hendaklah dikemukakan secara berkala kepada INTAN melalui Pegawai Penyelaras Malaysia MADANI yang telah dilantik di jabatan masing-masing.

“Sesungguhnya pegawai awam wajar mempunyai penghayatan yang jelas terhadap gagasan Malaysia MADANI yang seiring dengan usaha reformasi perkhidmatan awam.

“Justeru, pelaksanaan inisiatif EPSA MMPA ini diharap dapat melonjakkan lagi usaha untuk meningkatkan dan memperkasakan pemahaman pegawai awam terhadap gagasan Malaysia MADANI,” menurut surat edaran itu.

Pelaksanaan Modul Latihan MMPA telah dijadikan sebagai satu daripada inisiatif dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam di bawah Teras Keberhasilan 1: Penghayatan Nilai dan Tatakelola yang diperkenalkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, pada 2024.

Malaysia MADANI, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023, terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan