WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERAK CATAT PERDARATAN IKAN TERTINGGI DI MALAYSIA PADA 2024 - LKIM

25/02/2025 07:06 PM

BANDAR PERMAISURI, 25 Feb (Bernama) -- Perak mencatatkan jumlah pendaratan ikan marin tertinggi di negara ini pada tahun lepas dengan 228,178 tan metrik, melibatkan nilai RM670 juta.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata Sabah pula di kedudukan kedua dengan 122,987 tan metrik (RM446 juta) dan diikuti Pahang 94,314 tan metrik (RM280 juta).

“Terengganu pula berada di kedudukan kelapan dengan 18,988 tan metrik pendaratan ikan bersamaan nilai RM46 juta,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Setiu, di sini hari ini.

Beliau berkata bilangan nelayan bot kelas C2 yang rendah di Terengganu menjadi antara faktor kurangnya pendaratan ikan walaupun negeri itu mempunyai kawasan maritim yang luas dan sumber laut yang banyak.

Muhammad Faiz berkata sebahagian nelayan laut dalam di Terengganu juga didapati memindahkan operasi ke Kuantan, Pahang dan Endau, Johor selain ada yang tidak meneruskan aktiviti berkenaan dipercayai akibat kos operasi yang tinggi.

“Terengganu mempunyai nelayan tradisional yang ramai tetapi ia tidak mampu menampung bekalan ikan untuk penduduk yang semakin meningkat.

“Bagi mengatasi masalah ini, kita ada menyediakan pinjaman di bawah Skim Pembinaan Bot Perikanan melalui Agro Bank dengan kadar faedah yang rendah agar bilangan nelayan bot C2 meningkat,” katanya.

Terdahulu, pada program tersebut beliau turut menyampaikan bantuan berupa peralatan menangkap ikan kepada 31 nelayan Setiu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan