KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan mengadakan sesi temu rapat bersama penggiat seni termasuk seniman jalanan pada suku kedua tahun ini, untuk mendapatkan input awal sebelum Dasar Hiburan Wilayah Persekutuan dirangka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata sesi itu juga akan melibatkan penghibur jalanan yang tidak mempunyai permit persembahan bagi mengenal pasti masalah dihadapi serta jenis bantuan yang boleh diberikan.
Setakat ini, beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan permit rasmi kepada 579 seniman jalanan merangkumi 374 orang dalam kategori Seni Persembahan Muzik (SPM) dan 205 individu bagi Seni Visual Kreatif (SVK) seperti badut, maskot, silap mata, dan pelukis inai.
“Langkah ini membolehkan Kuala Lumpur mempunyai komuniti penghibur jalanan yang teratur, berkualiti, dan mampu menjadi daya tarikan pelancongan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Zaliha menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) mengenai inisiatif DBKL untuk mengangkat martabat penghibur jalanan di Kuala Lumpur, seperti di kota utama dunia termasuk London dan Paris dalam usaha menjadikan bandar raya itu sebagai kota budaya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Berhubung acara VM2026, Dr Zaliha berkata seniman jalanan terutamanya di Kuala Lumpur disaran supaya tidak hanya memainkan lagu pop atau jiwang, tetapi turut memilih lagu klasik dengan sentuhan moden bagi membantu pelancong mengenali muzik tradisional Malaysia, seperti gamelan dan ghazal.
Selain itu, golongan berkenaan diharap membaiki penampilan, berpakaian sopan ketika membuat persembahan dan berinteraksi dengan penonton secara lebih profesional.
Pada masa sama, Dr Zaliha berkata DBKL turut mewajibkan Bengkel Pemantapan KL Street Artist bagi setiap pembaharuan permit sebagai syarat utama untuk memastikan seniman jalanan terus mematuhi garis panduan dan meningkatkan kualiti persembahan.
Bengkel itu antara lain bertujuan memastikan seniman jalanan memahami peraturan dan garis panduan mengenai lokasi dibenarkan, waktu operasi dan had bunyi supaya persembahan tidak mengganggu suasana sekitar.
Selain itu, ia turut menyediakan taklimat keselamatan dan peraturan undang-undang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan golongan itu memahami aspek keselamatan dan kepatuhan undang-undang semasa membuat persembahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial