KUCHING, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan Sarawak dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk memacu transformasi digital Sarawak melalui perluasan sambungan tanpa wayar ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), MOU itu ditandatangani di Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) Barcelona 2025 di Sepanyol pada Selasa. Ia disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.
MOU itu juga bertujuan menjalin kerjasama untuk memodenkan rangkaian penghantaran bagi menyokong penggunaan teknologi 5G yang pesat dan inovasi masa depan di negeri ini selain memacu pembangunan kecerdasan buatan (AI) yang mencerminkan keperluan dan identiti unik Sarawak.
“Matlamat lain termasuklah membangunkan pusat penyimpanan data terkini untuk membolehkan pertukaran data dan pengeluaran data yang selamat selain mengukuhkan pembangunan bakat digital dengan melengkapkan tenaga kerja tempatan dengan kemahiran dalam AI, Data Raya, Internet of Things (IoT) dan teknologi imersif,” menurut UKAS dalam laporan dalam taliannya hari ini.
Berucap pada majlis tersebut, Uggah berkata MOU itu dibina atas asas kukuh yang telah dibentuk melalui kerjasama antara Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Huawei, terutamanya dalam pembangunan bandar pintar.
Beliau berkata kerjasama SMA-Huawei telah memberi laluan kepada ekosistem bandar yang lebih terhubung dan cekap, dengan memanfaatkan inovasi dalam kesalinghubungan, analisis data dan infrastruktur pintar untuk meningkatkan perkhidmatan awam dan kualiti hidup secara keseluruhannya.
“Dengan mengukuhkan kerjasama ini, Sarawak menjadi peneraju dalam inovasi digital, memastikan teknologi pintar terus memacu pertumbuhan ekonomi, kemampanan dan peluang yang lebih baik untuk rakyatnya.
“Saya harap dengan MOU ini, kita dapat membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat Sarawak, yang lebih terhubung, inklusif dan dipenuhi dengan peluang baharu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial