WILAYAH - SELATAN > BERITA

PENIAGA BAZAR DIINGATKAN PAMER TANDA HARGA DENGAN JELAS - KPDN N.SEMBILAN

08/03/2025 10:34 PM

PORT DICKSON, 8 Mac (Bernama) -- Peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri dinasihatkan supaya mempamerkan tanda harga dengan jelas bagi mengelak kekeliruan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata pihaknya menerima banyak aduan tahun lepas bahawa ada peniaga di bazar Aidilfitri yang tidak meletakkan tanda harga dengan jelas sehingga mengelirukan pengguna.

"Saya berharap pada tahun ini tiada lagi aduan yang sama seperti ini lagi. Kami sentiasa melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan.

"Pamerkanlah tanda harga yang betul, yang tidak mengelirukan pengguna dan pengunjung. Letakkanlah tanda harga pada tempat yang boleh dilihat dan gunakanlah alat timbang sukat yang telah ditentusahkan," katanya kepada pemberita selepas Op Pemantauan Bazar Ramadan Rahmah di sini hari ini.

Beliau turut menasihati peniaga supaya mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan termasuk tidak menjual barangan menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 seperti barangan cetak rompak, tiruan dan lain-lain.

Muhammad Zahir berkata bagi tempoh Januari hingga hari ini, pihaknya merekodkan 310 aduan di seluruh negeri termasuk membabitkan harga iaitu 107 kes, transaksi dalam talian (55), barang kawalan (40), perkhidmatan mengelirukan (28), timbang dan sukat (2), iklan mengelirukan (19) dan jualan langsung (4).

Dalam pada itu, beliau berkata tiga bazar Ramadan di negeri ini terpilih sebagai Bazar Ramadan Rahmah (BRR) iaitu bazar di Politeknik Port Dickson, Stadium Tampin dan Batu Kikir di Juasseh.

Beliau berkata menerusi BRR itu, peniaga yang menyertai Jualan Rahmah akan menjual makanan lebih murah iaitu 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran.

"Setakat hari ini hampir 60 peniaga berdaftar dengan kita dan bersetuju untuk menjual menu Rahmah, kita harap jumlah tersebut akan terus meningkat.

"Pelbagai insentif tanpa tunai diterima jika peniaga terlibat dgn jualan menu Rahmah ini antaranya e-dompet berjumlah RM100, RM20 kepada pengunjung yang datang ke BRR dan kad khas diskaun untuk peniaga bagi pembelian barang mentah untuk urusan niaga," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan