WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EKSPORT MINYAK SAWIT TURUN 16.27 PERATUS KEPADA SATU JUTA TAN PADA FEBRUARI 2025 - MPOB

10/03/2025 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Eksport minyak sawit Malaysia pada Februari 2025 susut sebanyak 16.27 peratus kepada satu juta tan daripada 1.19 juta tan pada Januari 2025, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

MPOB dalam laporan prestasi industri Februari 2025 berkata pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) bagi bulan itu nerosot sebanyak 4.16 peratus atau 51,516 tan kepada 1.18 juta tan daripada 1.23 juta tan pada bulan sebelumnya.

Pengeluaran isirung sawit turun sebanyak 2.25 peratus bulan ke bulan kepada 284,959 tan pada Februari daripada 291,524 tan pada bulan sebelumnya.

Dalam pada itu, pengeluaran minyak isirung sawit mentah susut sebanyak 5.11 peratus kepada 130,146 tan daripada 137,158 tan pada Januari manakala hampas isirung sawit turun sebanyak 5.81 peratus kepada 142,997 tan metrik daripada 151,813 tan metrik sebelumnya.

Dari segi stok, MPOB melaporkan bahawa stok MSM meningkat sebanyak 4.66 peratus kepada 826,248 tan pada Februari berbanding 789,435 tan pada Januari.

Stok minyak sawit diproses menguncup 13.27 peratus kepada 685,852 tan pada Februari 2025 daripada 790,817 tan pada bulan sebelumnya manakala jumlah stok minyak sawit berkurangan sebanyak 4.31 peratus kepada 1.51 juta tan daripada 1.58 juta tan sebulan sebelumnya.

MPOB berkata eksport minyak isirung sawit meningkat 1.03 peratus kepada 58,144 tan pada Februari daripada 57,554 tan pada Januari.

Eksport hampas isirung sawit turut menokok sebanyak 9.86 peratus kepada 194,894 tan metrik pada Februari daripada 177,396 tan metrik pada bulan sebelumnya manakala eksport biodiesel meningkat sebanyak 24.43 peratus kepada 42,052 tan pada Februari daripada 33,795 tan sebelumnya.

Bagaimanapun, eksport oleokimia pada Februari lebih rendah, pada 198,426 tan, berkurangan 14.39 peratus daripada 231,791 tan pada Januari.

MPOB melaporkan bahawa import MSM kekal sifar pada Februari manakala jumlah import minyak isirung sawit melonjak sebanyak 122.46 peratus kepada 12,699 tan daripada 5,708 tan pada bulan sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan