WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELANGGARAN AKTA SYARIKAT: SAPURA BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP BEKAS PENGARAH URUSAN

10/03/2025 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Sapura Resources Bhd membuat laporan polis susulan aduan rasmi yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung kemungkinan pelanggaran Akta Syarikat 2016 melibatkan bekas pengarah urusannya Datuk Shahriman Shamsuddin.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan selepas siasatan dalaman terhadap Shahriman selesai, laporan akhir siasatan telah diserahkan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd sebagai maklum balas terhadap permintaan unit pemantauan korporat Bursa Malaysia.

Berikutan penyerahan laporan itu, Sapura telah mengemukakan aduan rasmi kepada SSM mengenai kemungkinan pelanggaran Akta Syarikat 2016 berkaitan konflik kepentingan, selaras dengan komitmen syarikat untuk memastikan pematuhan terhadap semua kewajipan peraturan yang berkaitan.

“Sebagai sebahagian daripada proses SSM dalam mengendalikan aduan sedemikian, SSM mengkehendaki syarikat untuk membuat laporan polis berkaitan perkara yang dibangkitkan dalam aduan tersebut. Syarikat telah mematuhi sepenuhnya keperluan ini,” menurut kenyataan itu.

Sapura memaklumkan walaupun siasatan dalaman serta penyerahan laporan akhir kepada Bursa Malaysia dan SSM telah selesai, kandungan laporan tersebut tidak akan didedahkan buat masa ini.

“Langkah ini bagi memastikan integriti semakan kawal selia yang sedang berlangsung serta mengelakkan sebarang pendedahan awal yang  boleh menjejaskan atau mengganggu proses dikendalikan pihak berkuasa berkaitan.

“Laporan tersebut mengandungi maklumat bersifat sensitif dari segi undang-undang dan pendedahan kepada umum boleh menjejaskan siasatan yang sedang berjalan, kerahsiaan, hak undang-undang serta kepentingan syarikat,” menurut kenyataan itu.

Sapura menegaskan komitmennya untuk mematuhi semua keperluan pendedahan ditetapkan dan memberi jaminan kepada pemegang saham bahawa sebarang perkembangan penting yang memerlukan pendedahan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia akan dimaklumkan segera.

Selain itu, syarikat sedang menilai semua pilihan perundangan tersedia dan akan mengambil tindakan lanjut berdasarkan nasihat daripada penasihat undang-undang bagi memastikan kepentingan terbaik syarikat dan para pemegang kepentingannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan