WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TAK MAHU BELI BAJU RAYA, PETANDA AISAR AZIM AKAN PERGI SELAMANYA - KELUARGA

11/03/2025 09:01 AM

SEREMBAN, 11 Mac (Bernama) -- Permintaan untuk tidak membeli baju raya tahun ini menjadi petanda pemergian seorang remaja, Aisar Azim Abdullah, 17, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1, Khamis lepas.

Abangnya, Muhammad Aiman, 20, berkata Aisar Azim yang mesra dipanggil Alang menyatakan hasrat itu beberapa hari sebelum kejadian tanpa disangka ia menjadi tanda perpisahan selamanya.

"Saya tanya kenapa dia tak mahu beli baju raya, dia kata tahun ini tak nak beraya, hanya mahu duduk di rumah. Tak sangka itu petanda dia akan pergi buat selamanya," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah, Sikamat, awal pagi tadi.

Ibunya, Nurha'afza Salwa Hazizan, 41, berkata arwah anak ketiga daripada 10 beradik itu sentiasa teruja menyambut Syawal dan gemar berpakaian sedondon bersama keluarga.

Sementara itu, Nurha'afza reda dengan ketentuan Ilahi, namun bersedia mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian yang meragut nyawa anaknya itu.

"Kami sudah bersedia sebaik doktor maklumkan oksigen anak saya menurun hingga 38 peratus dan otaknya sudah mati. Kami bacakan surah Yasin, saya maafkan dan ampunkan dosanya. Dia pergi dengan tenang, seolah-olah sedang tidur.

"Kali terakhir saya melihatnya pada malam Rabu, ketika dia baru pulang dari rumah kawannya. Itulah kali terakhir saya menatap wajahnya," katanya.

Aisar Azim disahkan meninggal dunia pada pukul 7.23 malam tadi, selepas menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) sejak 6 Mac lepas.

Jenazahnya selamat dikebumikan pada 12.40 tengah malam di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah, dihadiri hampir 100 ahli keluarga serta Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Norazman Mohammad, yang membacakan doa dan talqin.

Sebelum ini, media melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda Jazz di persimpangan lampu isyarat Matahari Heights, Jalan Persiaran Senawang 1.

Siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, bersama seorang penumpang berusia 17 tahun, dari arah Senawang ke Paroi, gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu merempuh motosikal Modenas Kriss dinaiki kedua-dua pelajar serta motosikal Honda Vario yang ditunggang Aisar Azim dan seorang rakannya berusia 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din, dilaporkan berkata remaja lelaki berusia 13 tahun itu serta pemandu dan penumpang kereta masih menerima rawatan di hospital yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan